Penyerang Perancis, Kylian Mbappe (kiri), bersama Ousmane Dembele dan Jules Kounde ketika sesi latihan pasukan di Boston, Rabu lalu. – Foto AFP
PHILADELPHIA: Diketuai penyerang sensasi, Kylian Mbappe, Perancis dijangka meneruskan kemaraan ke suku akhir apabila menentang Paraguay pada aksi pusingan 16 terakhir Piala Dunia awal pagi Ahad ini.
Namun, selain cabaran daripada Paraguay, juara dunia 2018 itu turut berdepan cuaca panas melampau dengan suhu dijangka mencecah 37 darjah Celsius serta kemungkinan ribut di Philadelphia.
Perancis tampil sebagai pilihan utama selepas mempamerkan aksi cemerlang sepanjang kejohanan, namun perlawanan di bandar bersejarah sempena sambutan Hari Kemerdekaan Amerika Syarikat itu dijangka bukan tugas mudah.
Selepas muncul juara pada 2018 dan tewas menerusi penentuan penalti kepada Argentina pada final 2022, skuad kendalian Didier Deschamps kini memburu sejarah menjadi pasukan ketiga yang mara ke tiga final Piala Dunia berturut-turut, selepas Jerman Barat dan Brazil.
Perjalanan ke final masih panjang, namun persembahan Les Bleus setakat ini cukup meyakinkan.
Kemenangan 3-0 ke atas Sweden pada pusingan 32 terbaik menyaksikan Mbappe meledak dua gol manakala Bradley Barcola turut menemui sasaran, sekali gus memberikan Perancis empat kemenangan daripada empat perlawanan dengan 13 gol dijaringkan.
Selepas sekian lama dikritik kerana pendekatan lebih berhati-hati, Deschamps dilihat berjaya mengubah corak permainan pada kejohanan terakhirnya sebagai jurulatih.
Gandingan Mbappe, Barcola, Ousmane Dembele dan Michael Olise kini tampil sebagai jentera serangan yang sukar disekat.
“Keserasian antara pemain menyerang sangat baik. Mereka bercakap dalam bahasa bola sepak yang sama,” kata Deschamps.
Bagaimanapun, jurulatih berusia 57 tahun itu enggan memandang rendah Paraguay yang kini menghuni ranking ke-41 dunia.
Pasukan Amerika Selatan itu tiba dengan keyakinan tinggi selepas mengejutkan Jerman menerusi penentuan penalti pada pusingan sebelumnya, sehingga kerajaan Paraguay mengisytiharkan cuti umum bagi meraikan kejayaan tersebut.
“Mereka bukan berada di sini secara kebetulan. Jerman adalah pasukan hebat dan Paraguay memiliki DNA bola sepak Amerika Selatan yang cukup kental.
“Mereka juga mempunyai pemain berkualiti. Anda tidak boleh mara ke pusingan 16 terbaik secara kebetulan,” katanya.
Barcola turut menjangkakan aksi fizikal daripada Paraguay.
“Mereka banyak bertahan dan gemar bermain keras. Tetapi mereka juga tahu bermain bola seperti yang dibuktikan ketika menentang Jerman,” katanya.
Harapan Paraguay banyak disandarkan kepada Julio Enciso yang menjaringkan gol ketika menewaskan Jerman.
Pemain Strasbourg itu percaya pasukannya masih mampu mencipta kejutan.
“Kami juga mempunyai kekuatan tersendiri. Dengan gaya permainan kami, kami akan cuba menyukarkan mana-mana lawan,” katanya.
Perancis turut mempunyai kenangan manis bertemu Paraguay di Piala Dunia apabila menang 1-0 selepas masa tambahan pada edisi 1998, dalam perjalanan menjulang trofi dunia pertama mereka. – AFP