
LOS ANGELES, Amerika Syarikat: Perancis bersiap sedia menghadapi cuaca panas melampau apabila berdepan Paraguay dalam aksi pusingan 16 terbaik Piala Dunia di Philadelphia, 5.00 pagi esok, manakala tuan rumah bersama, Kanada, menanti cabaran getir menentang gergasi Afrika, Maghribi di Houston.
Ketika gelombang haba ekstrem melanda sebahagian besar Amerika Syarikat yang sedang meraikan Hari Kemerdekaan, skuad Les Bleus bakal menentang Paraguay di Stadium Lincoln Financial Field dengan amaran cuaca panas melampau menjadi latar belakang perlawanan.
Suhu di bandar raya Pennsylvania itu mencecah 38 darjah Celsius semalam, manakala Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan Amerika Syarikat memberi amaran suhu tinggi yang sama dijangka berterusan esok ketika perlawanan bermula 5.00 pagi (waktu Malaysia).
Jurulatih Perancis, Didier Deschamps berkata pasukannya sudah bersedia menghadapi keadaan tersebut.
“Ia sesuatu yang perlu kami ambil kira, tetapi saya fikir semua pasukan sudah membuat persediaan. Ia boleh memberi kesan kepada semua pasukan,” kata Deschamps.
“Ini adalah perlawanan kelima kami dalam kejohanan ini dan itu juga akan memberi kesan, tetapi saya tidak terlalu memikirkan soal cuaca panas.”
Perancis muncul antara pasukan paling menyerlah setakat ini apabila mempamerkan aksi menyerang yang memukau untuk mara ke pusingan 16 terbaik dengan meledak 13 gol dalam empat perlawanan.
Jurulatih Paraguay, Gustavo Alfaro pula berkata pasukannya lebih bimbang terhadap “ribut” serangan pelbagai dimensi Perancis berbanding cuaca panas.
“Perancis ibarat ribut petir. Kami perlu sedar ribut itu sedang datang dan bersedia menghadapi sambaran kilatnya,” kata Alfaro.
“Kami sudah biasa dengan cuaca panas dan sememangnya perlu menghadapinya. Anda tidak akan bermain perlawanan Piala Dunia pada jam 5 petang di Paraguay, dan jika bermain mungkin kami akan tewas, tetapi ia sama seperti apabila anda bermain di Quito (menentang Ecuador), anda perlu bersedia menghadapi faktor altitud.”
Paraguay membuktikan kemampuan mereka apabila menewaskan Jerman pada pusingan 32 terbaik dan dijangka memberi tentangan sengit kepada Perancis dalam usaha mara ke suku akhir.
Pertembungan fizikal
Penyerang Perancis, Bradley Barcola menjangkakan pasukan Amerika Selatan itu akan mengamalkan corak permainan yang keras dalam perlawanan Sabtu ini.
“Mereka sebuah pasukan yang banyak bertahan. Mereka juga akan banyak melakukan terjahan keras,” kata Barcola.
“Namun mereka juga sebuah pasukan yang tahu bermain bola sepak. Kami melihatnya ketika mereka menentang Jerman.”
Dalam satu lagi aksi pusingan 16 terbaik lebih awal pada Sabtu, Kanada memburu kejutan besar apabila berdepan separuh akhir Piala Dunia 2022, Maghribi di Houston.
Kanada berada dalam keyakinan tinggi selepas menewaskan Afrika Selatan di Los Angeles pada Ahad lalu untuk mara ke pusingan 16 terbaik.
Namun jurulatih Kanada, Jesse Marsch mengakui menewaskan pasukan berkualiti seperti Maghribi memerlukan prestasi yang jauh lebih baik.
“Maghribi ialah pasukan yang benar-benar tiada kelemahan,” kata Marsch pada Jumaat.
“Kami perlu memastikan kami bermain dengan baik mengikut kekuatan kami.
“Kami perlu menangani segala cabaran yang akan dibawa Maghribi pada setiap saat permainan, selain memastikan kami benar-benar memahami identiti kami, cara kami mahu bermain, pasukan seperti apa yang kami mahu jadi, dan melaksanakannya pada tahap tertinggi.”
Maghribi mara ke pusingan 16 terbaik selepas menewaskan Belanda menerusi penentuan sepakan penalti selepas aksi berlanjutan ke masa tambahan.
Bagaimanapun, jurulatih Maghribi, Mohamed Ouahbi berkata kemenangan ke atas Belanda sudah menjadi sejarah ketika Atlas Lions berusaha meneruskan kemaraan dalam kejohanan itu, dengan kemungkinan bertemu Perancis di suku akhir.
“Kami amat menghormati Kanada, mereka mempunyai kualiti,” kata Ouahbi.
“Tahap permainan yang kami pamerkan dalam beberapa perlawanan lalu tidak akan mencukupi. Ini adalah perlawanan paling sukar kerana ia adalah perlawanan seterusnya.
“Kami sudah menentang Belanda, itu sudah berlalu. Jika kami perlu bermain satu lagi perlawanan, itulah perlawanan yang paling sukar.” – AFP