
BINTULU: Perancangan awal penempatan khususnya melibatkan pembinaan rumah panjang perlu diberi perhatian serius bagi mengurangkan risiko bencana serta menjamin keselamatan penduduk pada masa hadapan.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemena, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) terutama tuai-tuai rumah perlu memastikan status tanah dan kesesuaian lokasi dikenal pasti sebelum sebarang pembinaan dilaksanakan.
Menurut beliau, pembinaan rumah tanpa perancangan rapi, khususnya di kawasan berhampiran sungai dan tebing rendah, boleh mendedahkan penduduk kepada ancaman banjir serta pelbagai risiko keselamatan.
“Setiap perancangan pembinaan rumah perlu dirujuk kepada Pejabat Daerah bagi memastikan status tanah dan lokasi tersebut sesuai serta selamat sebelum kerja pembinaan dijalankan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan cek peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemena yang diadakan di Jabatan Pertanian Bahagian Bintulu hari ini.
Dalam pada itu, Dr Rundi menegaskan kepentingan kerjasama komuniti serta pematuhan terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam usaha menangani cabaran bencana yang semakin kerap berlaku kebelakangan ini.
Katanya, pendekatan yang lebih tersusun serta perubahan minda masyarakat amat diperlukan, terutamanya dalam membuat keputusan berkaitan penempatan dan pembinaan kediaman.
Pada majlis sama, seramai 20 penerima menerima peruntukan berjumlah RM352,000 di bawah Projek Kecil Luar Bandar (MRP) fasa terakhir bagi tahun 2025 untuk kawasan DUN Kemena.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Bintulu merangkap Residen Bahagian Bintulu, Datu Nyurak Keti; Pegawai Daerah Sebauh, Thaddeus Ling dan Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Collin Patan.
Oleh Carolyne Utih