
SIBU: Peranan wartawan profesional kini semakin signifikan dalam memastikan penyebaran maklumat yang sahih dan berintegriti, terutama dalam era digital yang penuh cabaran dan pantas berubah.
Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Alice Lau, berkata kebergantungan masyarakat terhadap media sosial menjadikan penyampaian berita lebih terbuka, namun pada masa sama turut membuka ruang kepada penularan maklumat tidak sahih.
“Hari ini, sesiapa sahaja boleh berkongsi kandungan di platform seperti Facebook, TikTok dan Instagram.
“Namun begitu, itu tidak menjadikan mereka wartawan. Wartawan profesional dilatih untuk mengesahkan fakta serta menyampaikan laporan yang adil dan seimbang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis sambutan Hari Gawai Dayak yang turut menyaksikan pelantikan jawatankuasa baharu Persatuan Wartawan Sibu (SJA) bagi penggal 2025–2027 di sebuah hotel di sini, malam tadi.
Lau yang juga Ahli Parlimen Lanang menegaskan bahawa walaupun media sosial semakin popular, media arus perdana seperti akhbar dan penyiar rasmi seperti Radio Televisyen Malaysia (RTM) masih menjadi sumber rujukan utama masyarakat kerana ketepatan dan kedalaman laporan yang disampaikan.
“Sama seperti tidak semua yang pandai memasak boleh menjadi cef, tidak semua yang berkongsi berita di media sosial mampu menggantikan wartawan profesional,” ujarnya.
Dalam ucapan sama, beliau turut berkongsi berita gembira mengenai penambahan peruntukan sebanyak RM1 juta bagi Tabung Kasih @ HAWANA oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, sebagai bukti keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan pengamal media di negara ini.
Sementara itu, Pengerusi baharu SJA, Florence Nervyn, menyeru barisan kepimpinannya agar terus berkhidmat dengan komitmen tinggi dan berpegang teguh kepada etika kewartawanan.
“Sejak penubuhannya pada 1993, SJA bukan sekadar sebuah organisasi, tetapi ibarat keluarga yang berdedikasi dalam mendidik dan menyampaikan maklumat kepada komuniti di Sibu,” katanya.
Florence turut merakamkan penghargaan kepada jawatankuasa terdahulu yang diketuai Yii Souk Ming atas sumbangan dan komitmen berterusan terhadap pembangunan SJA.
Turut hadir, Ahli Parlimen Sibu Oscar Ling, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bawang Assan Dato Sri Wong Soon Koh, ADUN Bukit Assek Joseph Chieng, serta Pengerusi penganjur Akun Giman.
Oleh Tarani Lanting