
SIBU: Wanita memainkan peranan penting dalam sektor awam menerusi sumbangan mereka dalam politik, tadbir urus dan perkhidmatan masyarakat yang kini setanding dengan golongan lelaki.
Timbalan Menteri Kesihatan, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Ting Ming Tee berkata, dalam masyarakat, wanita tidak lagi terhad kepada peranan rumah tangga tetapi turut memberi sumbangan besar dalam pelbagai bidang termasuk politik.
“Bahagian wanita kami (Parti Rakyat Bersatu Sarawak) memainkan peranan penting dalam membentuk agenda politik dan memperjuangkan hak sama rata,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Makan Malam Sambutan Hari Wanita Sedunia anjuran Wanita SUPP Cawangan Pelawan, hari ini.
Tiang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan memberitahu, Majlis Perbandaran Sibu (MPS) pada masa ini mempunyai seramai empat Ahli Majllis (Kaunselor).
“Saya mengumumkan pelantikan Jenny Ting Hua Hung iaitu Pengerusi Bahagian Wanita SUPP Pelawan sebagai ahli majlis wanita yang kelima.
“Ini jelas menunjukkan pengiktirafan yang semakin meningkat terhadap keupayaan wanita dalam tadbir urus,” katanya.
Beliau turut memetik seorang pemimpin wanita perintis di Sarawak iaitu mendiang Barbara Mendu sebagai inspirasi kepada wanita untuk melangkah ke hadapan dalam peranan kepimpinan.
“Barbara Mendu merupakan kumpulan pertama jururawat dan bidan terlatih Sarawak, presiden pertama Sarakup Indu Dayak Sarawak (SIDS), dan wanita pertama dalam Jawatankuasa Kerja Pusat SUPP. Dia percaya wanita tidak seharusnya hanya berada di dapur, tetapi harus memperjuangkan hak yang sama,” katanya.
Tiang memberi jaminan bahawa SUPP Pelawan komited untuk menyediakan platform untuk penyertaan wanita.
“Di bawah kepimpinan bahagian wanita kami, kami telah mencipta peluang dalam sukan, khidmat masyarakat, politik, dan tadbir urus perbandaran, memastikan wanita mempunyai peluang yang sama seperti lelaki,” tegasnya.
Beliau menggalakkan wanita muda untuk mengambil peranan kepimpinan, menekankan bahawa suara mereka sangat dihargai dalam membentuk masa depan.
“Kami memerlukan wanita dalam politik barisan hadapan. Pengaruh dan perspektif mereka adalah penting untuk membuat keputusan yang seimbang,” kata beliau lagi.
Pada majlis tersebut, turut diadakan sesi memperkenalkan ahli baharu parti cawangan Pelawan.
Turut hadir ialah Pengerusi Wanita SUPP Pusat, Kho Teck Wan, Pengerusi SUPP Cawangan Pelawan yang juga Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS), Clarence Ting Ing Horh, Ketua Pemuda SUPP Pusat Kaunselor Kevin Lau, Pengerusi Wanita SUPP Pelawan, Jenny Ting serta yang lain.
Oleh Akun Giman