
SIBU: Perpaduan dan sumbangan masyarakat Cina melalui Persatuan Cina Bersatu (UCA) terus menjadi tonggak penting dalam usaha membina negeri Sarawak yang lebih maju, makmur dan sejahtera.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata sejak penubuhannya pada 1977 dengan lebih 116 ahli, UCA telah memainkan peranan besar dalam memupuk perpaduan, memperjuangkan pendidikan serta menjaga kebajikan dan keharmonian masyarakat di Sarawak.
“Beberapa tahun ini, kita mula bangkit dan kini kita berdiri dengan teguh. Menjelang 2030, Sarawak akan berdiri dengan penuh kebanggaan. Ayuh, mari bersama-sama menjadikan Sarawak berdiri dengan bangga. Nilai ini amat penting,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Perasmian Majlis Pelantikan Jawatankuasa Baharu UCA Sibu di Wisma UCA Sibu, semalam.
Beliau menegaskan kejayaan Sarawak hari ini adalah hasil daripada usaha membina negeri yang berpaksikan kepada nilai perpaduan dan semangat berdikari rakyat negeri ini.
Beliau juga berkata kritikan dan fitnah daripada segelintir pihak di media sosial tidak akan melemahkan semangat kerana yang lebih penting ialah kejayaan Sarawak membangunkan masyarakatnya.
“Walaupun ada pihak yang mengkritik usaha Sarawak yang penting adalah hasil kejayaan yang telah dicapai,” tegasnya.
Beliau turut menggesa masyarakat Cina di Sarawak untuk terus menyokong agenda kerajaan negeri dalam bidang pendidikan dan kesihatan termasuk inisiatif biasiswa serta penjagaan warga emas yang merupakan asas penting kepada proses pembangunan negeri.
Beliau juga mengingatkan bahawa UCA dan semua pertubuhan masyarakat Cina adalah sebahagian daripada usaha bersama dalam membina Sarawak yang lebih baik sekali gus memberi contoh kepimpinan kepada seluruh Malaysia.
Sementara itu, Presiden Persekutuan Persatuan Cina Sarawak, Datuk Richard Wee, berkata pertubuhan Cina memainkan peranan penting sebagai jambatan antara komuniti Cina dan kerajaan, memastikan dasar kerajaan mengambil kira keperluan komuniti serta memberi manfaat yang optimum.
“Sejak penubuhannya, Persatuan Cina Sibu telah menjadi kekuatan penyatu bagi persatuan-persatuan berkaitan, memajukan pendidikan, budaya dan khidmat masyarakat. Di bawah kepimpinan terdahulu, Persatuan Cina Sibu bukan sahaja menjadi penyokong teguh komuniti Cina tempatan tetapi juga satu kuasa penting dalam komuniti Cina Sarawak. Ketekunan dan komitmen ini amat wajar dipuji dan dicontohi,” katanya.
Beliau menambah, kerajaan Sarawak menunjukkan sikap terbuka terhadap pembangunan pelbagai budaya etnik, bersedia mendengar pandangan komuniti Cina dan memberi sokongan signifikan kepada institusi pendidikan Cina, membantu mereka menavigasi perubahan zaman.
“Kita mesti mengambil peluang ini, melaksanakan tanggungjawab kepada komuniti Cina dan mengekalkan perpaduan, berpegang kepada prinsip mencari persamaan sambil menghormati perbezaan,” katanya.
Majlis tersebut menyaksikan pelantikan rasmi kepimpinan baharu UCA Sibu melibatkan
Lembaga Pengarah UCA Sibu ke-24 (2025-2028), Jawatankuasa Belia ke-19, Jawatankuasa Wanita ke-18, Jawatankuasa Pengarah Ceramah ke-14 (2025-2026).
Pelantikan ini dijangka akan terus memperkukuh semangat perpaduan serta menyumbang kepada kemajuan masyarakat dan pembangunan negeri.
Oleh Tarani Lanting