SIBU: Program MTIB UTS TANGGAM Fest: Borneo Chapter 2024 – Pesta Nengkebang Kayu bermaksud Pesta Kayu, menonjolkan hubungan mendalam rantau ini berkaitan kayu serta peranan reka bentuk mampan dalam industri perabot moden.
Program tersebut berlangsung di Universiti Teknologi Sarawak (UTS) di sini, baru-baru ini, dianjurkan dengan kerjasama Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), TANGGAM Design Centre (TDC), School of Computing and Creative Media (SCM), Borneo Regionalism and Conservation (BORC), School of Built Environment (SBE) dan Business Events Sarawak.
Program selama dua hari itu (18 hingga 19 Disember) menghimpunkan pereka industri, profesional dan pelajar dari seluruh negara untuk meraikan serta mempamerkan warisan budaya yang kaya dan masa depan inovatif dalam industri rekaan perabot berasaskan kayu di Borneo.
Pelbagai aktiviti menarik telah diadakan antaranya pameran, bengkel, demonstrasi langsung dan sesi jaringan.
Majlis perasmian program tersebut telah disempurnakan oleh Naib Canselor UTS, Profesor Datuk Dr Khairuddin Abdul Hamid.
Dr. Khairuddin dalam ucapannya menekankan kepentingan TANGGAM Fest sebagai platform meraikan sejarah budaya Borneo sambil memupuk inovasi masa depan.
“TANGGAM Fest adalah peluang untuk kita meraikan keindahan sejarah kita yang dikongsi bersama serta masa depan yang sedang kita bina bersama,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah MTIB Ts Farydatul Nazly Mohd Zin dalam ucaptamanya berharap penganjuran program tersebut dapat meningkatkan kreativiti dan kemahiran peserta dalam pembangunan reka bentuk perabot, selain menjadi platform pertukaran idea, jaringan, dan kerjasama yang baik.
Penganjuran program tersebut telah menjadi tanda aras dalam pembangunan industri perkayuan rantau ini.
Melalui fokus terhadap kreativiti, kemampanan, dan kerjasama, program ini berjaya merapatkan jurang antara tradisi dan kemodenan, sekali gus membentuk masa depan reka bentuk di Borneo.
UTS terus menjadi pusat pembangunan pendidikan dan profesional dalam bidang reka bentuk serta teknologi.
Kejayaan acara ini membuka jalan kepada lebih banyak kolaborasi serta pertumbuhan berterusan dalam industri kreatif di rantau ini.
Oleh Akun Giman