SEJARAH mengenai peranan wanita dalam sesuatu pergerakan sering diselubungi dengan kegiatan lelaki. Hal ini boleh dilihat kepada beberapa sejarah politik dunia apabila wanita seolah-olah tiada dalam sejarah. Namun pengorbanan mereka dalam perjuangan kebangsaan tidak boleh dinafikan.
Hal ini juga berlaku semasa gerakan antipenyerahan berlaku di Sarawak. Wanita terutama golongan ibu amat aktif bersama-sama dengan kaum golongan bapa untuk menentang penyerahan. Mereka juga pandai mengurus dan mengerakkan persatuan sendiri. Oleh itu munculnya beberapa persatuan khusus untuk wanita semasa perjuangan antipenyerahan. Antara pertubuhan ini adalah Kaum Ibu Persatuan Melayu Simanggang, Kaum Ibu Sibu dan Kaum Ibu Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak (PKMS).
BERKEMPEN
Pergerakan golongan ibu ini juga aktif dalam memberi penerangan isu-isu mengenai penyerahan Sarawak. Antara yang aktif ialah Kaum Ibu Pergerakan Pemuda Melayu (PPM). Tokoh penting dalam pergerakan ini adalah Saripah Habsah Tuanku Seman, Dayang Poziyah Assim dan Ani Amit. Pada 25 Ogos 1947, ketiga-tiga mereka ini telah berkempen untuk menerangkan kedudukan Sarawak di bawah British di Daerah Hilir Rajang.
WANITA KUCHING
Selain itu, wanita di Kuching juga aktif dalam memperjuangkan antipenyerahan. Dalam hal ini boleh kita lihat peranan Kaum Ibu PKMS yang telah menunjukkan kesungguhan untuk menentang penyerahan dengan pelbagai kempen penentangan dijalankan.
Menurut catatan yang dibuat oleh Hasbi Sulaiman dalam bukunya, ‘Perjuangan Anti-Cession Sarawak’ menyatakan bahawa Kaum Ibu PKMS hanya muncul pada 1947. Hal ini dibuktikan dengan terdapatnya Jawatankuasa pertama Kaum Ibu PKMS. Selepas penubuhan itu, maka usaha telah digerakkan oleh Lilly Eberwein dengan ahli jawatankuasanya untuk mengadakan usaha menentang penyerahan Sarawak.
MENGUTUS SURAT
Antara usaha dilakukan oleh mereka adalah mengutus surat kepada Sir Charles Arden Clarke untuk memaklumkan tentang dasar Kaum Ibu PKMS yang tidak bersetuju dengan penyerahan. Surat ini dihantar pada 24 Mac 1947. Dalam surat tersebut juga mereka menegaskan bahawa golongan wanita juga mempunyai hak bersama dengan lelaki untuk membela tanah air mereka demi kemerdekaan.
Dalam surat itu juga dinyatakan bahawa mereka mengkritik Raja Vyner Brooke yang tidak menjaga amanah diberi dan melanggar wasiat ayahnya iaitu Raja Charles Brooke. Mereka juga mengkritik kerajaan British yang melanggar Piagam Atlantik dan bertindak menjajah Sarawak sebagai sebuah negara merdeka.
PERARAKAN
Selain mengutus beberapa pucuk surat sebagai bantahan kepada penyerahan, Kaum Ibu PKMS ini juga bertindak mengadakan perarakan. Mereka pernah bersama-sama dengan PKMS mengadakan perarakan pada Julai 1947. Perarakan ini dihadiri kira-kira 2,000 hingga 3,000 orang yang juga terdiri daripada wanita dan kanak-kanak. Dalam perarakan ini, mereka membawa bendera dan juga slogan-slogan antipenyerahan. Antara poster ini tertera kata-kata seperti ‘We do not want Cession’, ‘Cession is illegal’ dan ‘We want Anthony Brooke.’
Satu lagi perarakan yang mereka lakukan berlangsung pada 6 November 1948. Perarakan bantahan ini diadakan untuk menunjuk perasaan menentang penyerahan. Selain itu, perarakan ini juga digerakkan untuk menunjukkan bantahan kepada kerajaan British di Sarawak yang menghalang kedatangan Anthony Brooke ke Sarawak. Mereka menaruh harapan agar larangan kedatangan Anthony Brooke ke Sarawak ditarik balik. Mereka juga menekankan agar pemerintahan Raja Brooke dikembalikan.
LAWATAN GLADYS
Sehubungan dengan hal ini, golongan ibu di Kuching juga memain peranan dalam memberi sambutan meriah kepada kedatangan Gladys Milton Palmer iaitu isteri kepada Betram Brooke. Bersama Gladys ke Sarawak adalah anak menantunya. Sampai sahaja di Kuching pada 28 Julai 1947 beliau telah disambut kira-kira 2,000 hingga 3,000 orang Melayu. Majoriti yang hadir dalam sambutan ini adalah golongan wanita dan kanak-kanak.
Orang ramai yang hadir pada lawatan Gladys tersebut telah melaungkan slogan ‘Merdeka’ dan ‘Brooke Rule’. Poster-poster antipenyerahan juga telah dibawa semasa lawatan itu. Gladys juga dibawa oleh pemimpin-pemimpin PKMS dan juga pengerusi Kaum Ibu PKMS, Lilly Eberwein untuk melawat Kapit. Di sana, mereka bersama-sama pemimpin lelaki PKMS telah menjalankan kempen penerangan tentang antipenyerahan. Di Sibu pula Gladys disambut oleh PEMIMPIN PPM DAN DAYANG SARIPAH.
MELAWAT SINGAPURA
Pada 3 Julai 1947 Kaum Ibu PKMS ini juga telah pergi ke Singapura untuk meneruskan usaha perkuatkan penentangan mereka terhadap penyerahan. Mereka terdiri daripada Lilly Eberwein, Duri Doz (Ali) dan Ajibah Abol bagi memperhebatkan lagi usaha mereka menentang penyerahan.
Mereka ditemani oleh Abang Kassim dengan menggunakan kapal S.S. Tung Song. Seramai 100 orang ahli Kaum Ibu PKMS telah berhimpun di pengkalan kapal untuk mengiringi mereka berlepas ke Singapura.
Di Singapura, Lilly Eberwein ditemuramah oleh wartawan tentang antipenyerahan. Lilly Eberwein menyatakan bahawa ‘kita tidak akan menyerah sehingga penyerahan Sarawak dikembalikan”. Beliau menambah bahawa mereka juga bersimpati dengan peletakan jawatan besar-besaran pegawai Melayu yang tidak bersetuju dengan pihak kerajaan British menerusi Circular No.9. Mereka juga menyokong tindakan ini.
Peletakan jawatan kira-kira 338 orang itu juga melibatkan beberapa kakitangan dalam kalangan wanita.
Antara mereka yang bertindak meletak jawatan ini adalah Juita Lambong, Rabiah Mohamad, Masni Bakar, Sharifah Salhah Syed A. Rahman dan Sharifah Hasidah Tuanku Mansor. Lily Eberwein dan Ajibah Abol juga antara yang meletak jawatan tersebut.
Sementara itu kehadiran wakil Kaum Ibu ke Singapura bertujuan untuk berjumpa dengan isteri Anthony Brooke. Mereka juga berusaha untuk berjumpa dengan GabenorJeneral, Malcolm MacDonald jika ada kesempatan. Sejarah antipenyerahan merupakan gerakan bukan sahaja digerakkan oleh golongan lelaki tetapi juga melibatkan wanita. Golongan wanita ini bergerak secara aktif untuk menjayakan matlamat perjuangan antipenyerahan tersebut.
- Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Program Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).