
SIBU: Peranan media dalam menyampaikan maklumat tepat dan pantas dihargai meskipun dunia moden hari ini semakin mencabar dengan kepesatan teknologi dan tuntutan kerja yang kian meningkat.
Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Bawang Assan, Kaunselor Kevin Lau Kor Jie berkata walaupun teknologi membantu meningkatkan kecekapan kerja, wartawan masih perlu menghadiri banyak program melakukan liputan di lokasi jauh serta memastikan masyarakat mendapat berita terkini bukan sahaja di akhbar tetapi juga secara dalam talian.
“Atas segala masa dan usaha, saya ucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada rakan media,” katanya ketika berucap merasmikan perlawanan persahabatan pickleball bersama media anjuran Pemuda SUPP Wilayah Tengah di My Centre, di sini hari ini.
Kevin yang juga Ahli Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) berkata, golongan belia kini berdepan komitmen besar bukan sahaja terhadap keluarga dan kerjaya tetapi juga dalam memberi sumbangan kepada masyarakat melalui parti.
“Acara seperti ini amat bermakna kerana walaupun berdepan cabaran, kita meluangkan masa untuk menghargai, menyokong dan bergembira bersama. Ia juga aktiviti sihat yang boleh dikongsi secara kolektif,” ujarnya.
Katanya lagi, semangat bekerjasama dan saling menyokong mesti terus dipupuk sama seperti perlawanan persahabatan pickleball yang menyaksikan penyokong bukan sahaja memberi sorakan kepada pasukan sendiri, malah menyokong pasukan lain.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada jawatankuasa penganjur, rakan media dan belia yang hadir memeriahkan acara tersebut.
“Bagi Perayaan Kuih Bulan yang bakal tiba, saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Perayaan Kuih Bulan. Semoga kehidupan anda semua dipenuhi kebahagiaan dan kebaikan,” katanya.
Turut hadir Pengerusi Penganjur, Ley Chee Hua, Pengerusi Persatuan Wartawan Sibu (SJA), Florence Neryn, Pemangku Pengurus RTM Sibu, Jenny Achan, Setiausaha Institut Wartawan Rejang (IRJ), Wat Zacchaeus, wakil Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Bahagian Sibu, Jeanie Rohana Abit serta yang lain.
Oleh Akun Giman