
BINTULU: Peranan media dalam menyebarluaskan maklumat berkaitan Sukan Olimpik Khas dilihat sebagai faktor penting dalam meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap komuniti Orang Kurang Upaya (OKU).
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, tanpa liputan media, ramai dalam kalangan masyarakat tidak mengetahui kewujudan serta kepentingan platform seperti Olimpik Khas.
Menurut beliau, situasi sama pernah berlaku sebelum ini apabila sukan melibatkan komuniti OKU seperti sukan orang pekak dan Para SUKMA kurang mendapat perhatian umum.
“Apabila media memainkan peranan menyampaikan maklumat sama ada melalui media sosial atau televisyen, lebih ramai masyarakat mula mengenali sukan untuk OKU serta memahami kepelbagaian acara yang dipertandingkan.
“Ini secara tidak langsung membantu meningkatkan kesedaran dan penerimaan masyarakat terhadap komuniti berkeperluan khas,” katanya pada sidang media Program Atlet Sihat sempena Sukan Olimpik Khas Kebangsaan ke-6 Sarawak 2026 di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua Bintulu, hari ini.
Beliau menambah, usaha advokasi berkaitan komuniti OKU masih perlu diteruskan memandangkan perjalanan ke arah pemahaman menyeluruh masyarakat masih panjang.
Katanya, pendedahan berterusan melalui media juga penting bagi mengelakkan salah faham terhadap tingkah laku individu berkeperluan khas, khususnya kanak-kanak autisme.
“Kadangkala apabila anak-anak ini menunjukkan tingkah laku seperti memukul atau mencederakan diri sendiri, ia sering disalah tafsir sebagai masalah disiplin, sedangkan ia adalah di luar kawalan mereka.
“Di sinilah pentingnya peranan media untuk mendidik masyarakat agar lebih memahami dan berempati terhadap keadaan sebenar yang dihadapi,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau merakamkan penghargaan kepada semua pengamal media atas komitmen dalam menyampaikan mesej advokasi serta membantu membina masyarakat yang lebih inklusif.
Untuk rekod, Utusan Sarawak adalah rakan media rasmi Sukan Olimpik Khas Kebangsaan ke-6 yang di anjurka di Bintulu yang bermula dua hari lepas sehingga hari ini.
Majlis penutupan akan diadakan hari ini di Dewan Suarah Bintulu, 7.00 malam. Dato Sri Fatimah Abdullah turut dijangka bakal menyempurnakan majlis tersebut.
Oleh Shahrul Qaizat