
BINTULU: Pemerkasaan masyarakat akar umbi sebagai ejen pencegahan dadah menjadi keutamaan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Daerah Bintulu dalam mendepani cabaran penyalahgunaan dadah yang semakin kompleks.
Pengerusinya, Awang Mohammed Nizam Awang Ali Bohan berkata, kekuatan sebenar dalam membanteras gejala itu terletak pada keupayaan komuniti memainkan peranan aktif secara berterusan, bukan hanya bergantung kepada penguat kuasa semata-mata.
“Sudah tiba masanya masyarakat diberi lebih banyak ruang dan tanggungjawab dalam menjadi barisan hadapan menentang penyalahgunaan dadah.
“Kita mahu komuniti menjadi sebahagian daripada penyelesaian, bukan hanya penerima maklumat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan PEMADAM Daerah Bintulu Tahun 2025 di Wisma Residen Bintulu di sini, semalam.
Menurut beliau, PEMADAM Daerah Bintulu akan memperkenalkan beberapa pendekatan baharu dalam mendekati komuniti, termasuk memperluaskan jangkauan ke kawasan pedalaman serta merangka program advokasi yang lebih inklusif dan berasaskan budaya tempatan.
“Kita akan melibatkan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) dari pelbagai latar belakang etnik untuk menjadi penyampai mesej yang lebih efektif, memandangkan mereka lebih memahami realiti dan keperluan komuniti masing-masing,” jelasnya.
Dalam mesyuarat itu, Inspektor Stanford Peter dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Bintulu membentangkan statistik terkini kes dadah yang menunjukkan penurunan tangkapan bagi tempoh empat bulan pertama tahun ini.
Namun demikian, Awang Mohammed Nizam menegaskan bahawa angka tersebut bukan alasan untuk memperlahan momentum, sebaliknya menjadi petunjuk bahawa strategi berasaskan komuniti perlu terus diperkukuh.
Turut hadir, Timbalan Pengerusi PEMADAM Daerah Bintulu Kaderi Yusof, Naib Pengerusi (Wanita),Noriha Ali dan Setiausaha Latifah Moksen.
PEMADAM Daerah Bintulu turut merancang untuk melaksanakan siri program latihan kepimpinan komuniti, pendidikan dadah serta kempen kesedaran secara berfasa sepanjang tahun ini sebagai langkah menyemai rasa tanggungjawab kolektif dalam kalangan masyarakat.
Oleh Carolyne Utih