
SRI AMAN: Hubungan erat antara ibu bapa dan guru merupakan kunci utama kecemerlangan murid, tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.31 Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang.
Beliau berkata, kerjasama antara ibu bapa dan pihak sekolah terus diperkukuhkan bagi melahirkan generasi pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah memiliki nilai sahsiah yang tinggi.
“Pendidikan anak-anak bukan tanggungjawab guru semata-mata. Peranan ibu bapa sangat penting dalam membentuk disiplin dan nilai murni sejak dari rumah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Merarau Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Selepong, dekat sini hari ini.
Mong turut memuji usaha PIBG SK Selepong yang sentiasa aktif dalam menjayakan program sekolah serta menunjukkan komitmen tinggi terhadap kebajikan pelajar dan guru.
Beliau menyatakan sokongan penuh terhadap usaha PIBG dalam menganjurkan program yang membina semangat kebersamaan dan memupuk kerjasama antara komuniti dan sekolah.
“Program yang dianjurkan ini bukan sahaja memperkukuh hubungan silaturahim, malah menyemarakkan semangat kolektif dalam menjayakan pendidikan anak-anak khususnya di kawasan luar bandar,” ujarnya.
Oleh Adi Safarman