
HORSENS, Denmark: Pemain perseorangan lelaki profesional negara Lee Zii Jia mengakui berdepan perasaan luar biasa menjelang aksi Final Piala Thomas 2026 yang membuka tirai esok hingga 3 Mei ini di Forum Horsens.
Zii Jia berkata situasi itu bukan berpunca daripada isu kecergasan, sebaliknya kemungkinan beliau menggalas peranan baharu sebagai perseorangan ketiga Malaysia dalam kejohanan berpasukan berprestij berkenaan.
Bagi pemain yang sebelum ini lebih sinonim sebagai sandaran utama negara, perubahan itu dilihat signifikan. Bagaimanapun, pemain ranking ke-82 dunia itu menegaskan beliau bersedia menyahut cabaran jika diberi tanggungjawab berkenaan.
“Ini kali pertama saya beraksi sebagai perseorangan ketiga dalam pasukan Malaysia, jadi situasinya memang berbeza. Sebelum ini, saya pernah diturunkan sebagai perseorangan kedua ketika penampilan sulung pada edisi 2018 di Bangkok.
“Saya sudah membuat persiapan untuk peranan ini, tetapi apabila berada di gelanggang, tekanannya berbeza. Walau sebanyak mana persiapan dibuat, mentaliti boleh berubah ketika perlawanan. Kita lihat bagaimana nanti,” katanya kepada Bernama pada sesi latihan, hari ini.
Zii Jia turut mengakui tekanan beraksi dalam perlawanan penentuan, khususnya ketika kedudukan terikat 2-2, akan menjadi cabaran tersendiri meskipun sudah membuat persediaan rapi.
Barisan perseorangan lelaki negara bagi kempen kali ini turut dibarisi pemain nombor satu negara Leong Jun Hao (ranking ke-25 dunia), selain Justin Hoh (44) dan Aidil Sholeh Ali Sadikin (51).
Mengulas kekuatan pasukan, pemain berusia 28 tahun itu tidak menafikan Malaysia berdepan kekurangan dari segi ranking, namun enggan terlalu banyak mengulas dan memilih untuk membuktikannya di gelanggang.
“Kalau ikut ranking, memang kita ada sedikit kekurangan. Saya tidak mahu cakap lebih, biar keputusan nanti yang menentukan,” katanya.
Dari sudut fizikal, juara All England 2021 itu berkata tahap kecergasannya kini menunjukkan perkembangan positif selepas melalui tempoh sukar akibat kecederaan dengan fokus utama ketika ini adalah mengekalkan konsistensi susulan kem latihan di Herning, Denmark, baru-baru ini.
Dalam masa sama, pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 itu turut memuji suasana harmoni dalam kem kebangsaan, yang disifatkan membantu mengukuhkan keserasian pasukan menjelang kejohanan.
Zii Jia sebelum ini bergelut dengan kecederaan sejak mengalami masalah buku lali ketika saingan Jelajah Dunia Akhir pada Disember 2024, sebelum kembali beraksi di Orleans Masters dan All England pada Mac tahun lepas.
Namun, kecederaan berkenaan masih belum pulih sepenuhnya menyebabkan beliau terpaksa berehat sekali lagi sebelum kembali ke gelanggang pada Kejohanan Dunia di Paris, Ogos lepas.
Pada September, beliau sempat beraksi di Terbuka Hong Kong sebelum menarik diri pada pusingan pertama Terbuka China akibat kecederaan belakang.
Susulan itu, pemain kelahiran Kedah berkenaan mengambil keputusan untuk berehat sepenuhnya bagi memberi tumpuan kepada proses pemulihan.
Sejak kembali beraksi bermula Terbuka Malaysia 2026 pada Januari, Zii Jia hanya sekali mara ke suku akhir, iaitu pada Masters Thailand 2026 daripada enam kejohanan disertainya tahun ini.
Malaysia dijadual membuka kempen Kumpulan B menentang England pada 25 April, diikuti Finland (27 April) sebelum menutup aksi peringkat kumpulan bertemu Jepun pada 29 April.
-Bernama