KUALA LUMPUR: Axiata Group Bhd meletakkan harapan dan teruja dengan peralihan kepimpinan yang disifatkan memberi keseimbangan antara kelangsungannya serta kepimpinan baharu.
Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Tan Sri Jamaludin Ibrahim akan melepaskan jawatan beliau pada akhir tahun ini dan tugas itu bakal digalas oleh Datuk Mohd Izzaddin Idris.
Mohd Izzaddin yang juga bekas Pengarah Urusan Kumpulan UEM dilantik sebagai Timbalan CEO Kumpulan dan dinamakan sebagai CEO Kumpulan pada 24 Jan, 2020.
“Tempoh 12 tahun lepas ini sememangnya menarik, mencabar dan amat menuntut (kesungguhan). Masa juga sebegitu pantas berlalu!
“Sehinggakan ke satu tahap, pengalaman saya bersama Axiata lebih sedekad lamanya dapat dirumuskan sebagai satu perjalanan ‘roller coaster’ mini dengan hampir 50 suku kewangan yang ketat, turun naiknya dengan pusingan mengejutkan dan tidak dijangka ketika kita meredah persaingan, persekitaran pengawalseliaan dan perkembangan global yang di luar kawalan,” kata Jamaludin dalam laporan tahunan terkini Axiata kepada Bursa Malaysia.
Menurutnya, ketika bekas Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd Tan Sri Azman Mokhtar menggalas tugas kepimpinan di Axiata pada 2007, beliau tertarik dengan peluang seumur hidup untuk mengubah sebuah syarikat yang pada asalnya berkaitan kerajaan daripada sebuah syarikat yang sudah berada di kedudukan baik kepada kumpulan multinasional serba hebat yang diiktiraf serta dikenali di peringkat global.
“Sebagai anak Malaysia yang bersyukur dengan kepercayaan diberikan oleh negara kepada saya selain dapat membantu mengembangkan pertumbuhan profesional sendiri, saya amat yakin kita memang ada pekerja, kapasiti dan wawasan untuk meletakkan Malaysia di peta dunia sebagai antara pemain utama telekomunikasi di rantau dan juga terkenal di peringkat global,” katanya.
Malah, perspektif itu boleh dibuktikan menerusi kewujudan Axiata di 11 negara ASEAN dan Asia Selatan dengan meraih hasil yang hampir 2.5 kali ganda lebih besar berbanding penubuhannya pada Jun 1992.
Jamaludin turut menyifatkan syarikat-syarikat tempatan di bawah kumpulan itu sebagai pesaing sengit yang gigih demi kepentingan kedudukan pertama dan kedua di pasaran.
“Sebagai jaguh serantau, kita boleh berbangga dengan kejayaan Smart yang mencatat lonjakan pertumbuhan lima kali ganda di pasaran Kemboja dalam masa singkat. Kejayaan sama turut dicapai oleh Robi bagi pasaran di Bangladesh, XL di Indonesia dan Dialog di Sri Lanka yang kesemuanya telah merekodkan pertumbuhan tiga kali ganda sejak mula beroperasi,” katanya.
Menurutnya, semua syarikat Axiata yang beroperasi itu telah diiktiraf sebagai mencatat prestasi terbaik di peringkat negara jika tidak pun bagi pasaran masing-masing.
“Jika saya perlu berkongsi prinsip teras yang menjadi senjata Axiata memacu prestasi kumpulan, ia adalah mengenai kesungguhan penerapan aspek kepelbagaian sebagai antara strategi utama. Kita tidak mungkin dapat mencatat prestasi yang memberangsangkan jika tidak berteraskan kekuatan kepelbagaian itu.
“Ia turut memberi pengalaman cemerlang untuk semua pekerja kita untuk berkembang dalam persekitaran yang pelbagai dan memaparkan keadaan dunia globalisasi serta menjadi perangsang untuk keluar daripada minda sebagai katak di bawah tempurung dan jaguh kampung,” katanya. – Bernama