Niat awal seorang pensyarah menggunakan perkakas daripada tembaga yang dijadikan bahan pengajaran dan pembelajaran (PDP) akhirnya berjaya menarik ramai pengikut di laman sosial selepas video masakannya itu dikongsi ke aplikasi Facebook, WhatsApp dan Instagram.
Pensyarah Kanan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Terengganu Arma Mohd Faizal Abu Bakar, 34, berkata beliau tidak menyangka video tutorial masakan untuk rujukan kesemua 76 pelajar kursus kulinari itu berjaya meraih 30,000 tontonan pada satu-satu masa.
Beliau menggunakan kaedah PDP sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk mengekang penularan COVID-19 pada 18 Mac lepas.
“Saya memang menggunakan peralatan memasak daripada tembaga seperti kuali, periuk, acuan kuih, sudip, senduk dan sudu serta garpu setiap kali berada di rumah.
“Lagipun penggunaan perkakas tembaga menambah ‘seri dan warna’ dalam persembahan video tutorial itu… secara tak langsung saya dapat mempromosikan keistimewaan tembaga sebagai warisan berharga identiti Terengganu,” katanya kepada Bernama ketika berkunjung ke rumahnya di Balai Besar di sini, hari ini.
Ketua Unit Komunikasi Korporat UiTM Cawangan Terengganu Kampus Dungun itu berkata antara juadah yang disediakan menggunakan perkakas dan acuan tembaga ialah bingka ubi kayu, cara berlauk, kuih bakar kemboja, kuih abok-abok, tepung gomak, seri muka, koleh kacang, kuih pulut inti, rempeyek, kuih bunga ros dan roti jala.
Walaupun berdepan kesukaran untuk memastikan semua pelajarnya memahami tutorial PDP masakan itu kerana pelbagai kekangan seperti liputan internet yang lemah serta jumlah data internet yang terhad, Arma berkata beliau tetap memuat naik 30 video tutorial masakan sepanjang Ramadan lepas.
“Pelajar boleh membuat rujukan itu pada bila-bila masa sahaja… sebab itu saya sedaya upaya cuba menghasilkan video yang menarik dengan menggunakan perkakas tembaga sebagai satu kelainan untuk membangkitkan rasa ‘rindu’ mereka termasuk pengikut di laman sosial terhadap warisan Terengganu itu.
“Alhamdulillah, semakin ramai yang berminat untuk mengenali tembaga kerana berdasarkan maklum balas mereka, kebanyakannya seronok melihatkan penggunaan tembaga yang sangat praktikal dan sesuai untuk rutin harian ketika di dapur, malah ia kelihatan lebih bergaya, eksklusif dan memberi efek mewah kepada pemiliknya,” katanya yang mahu mengumpul lebih banyak peralatan tembaga pada masa akan datang.
Arma berkata kali pertama beliau membeli periuk tembaga adalah pada awal tahun 2018 dan sehingga kini beliau telah memiliki puluhan koleksi lengkap perkakas memasak yang bernilai lebih RM10,000.
Anak jati Selayang, Selangor itu mengakui pengalaman menggunakan periuk tembaga itu sangat mengujakan kerana tembaga adalah konduktor haba yang sangat bagus, dapat memastikan pemanasan api sekata, masakan tidak mudah hangit dan ia sangat tahan lasak.
“Sejak itu, saya mula mengumpul pelbagai koleksi tembaga yang lain termasuk yang ditempah khas malah hobi saya itu turut mempengaruhi keluarga dan sahabat handai untuk sama-sama memiliki peralatan tembaga dan digunakan secara kerap ketika memasak.
“Kebanyakan tetamu yang berkunjung ke rumah juga teruja dengan kegigihan saya mengumpulkan semua koleksi ini kerana kebanyakan kita biasanya mengaitkan tembaga dengan warga emas sahaja seolah-olah ia sudah ketinggalan zaman dan tenggelam dek jenama terkenal perkakas memasak dari luar negara.
“Alhamdulillah, koleksi saya ini berjaya menjadi inspirasi kepada lebih ramai generasi muda di luar sana untuk kembali mengangkat martabat tembaga sebagai warisan… ada antaranya yang hubungi saya bertanyakan perihal (perkakasan) tembaga dan minta saya belikan untuk mereka,” katanya yang berharap industri pembuatan tembaga akan kembali gemilang seperti satu ketika dahulu.- BERNAMA