
KUCHING: Festival makanan paling dinanti di Sarawak, Pesta Makanan Kuching 2025, menerima suntikan semangat baharu apabila syarikat minuman gergasi dunia, Pepsi, tampil sebagai penaja utama dengan tajaan bernilai RM170,000.
Tajaan tersebut diumumkan dalam satu sidang media khas bertajuk ‘Handover of Pepsi Sponsorship’ yang berlangsung di Bangunan MBKS di sini, hari ini.
Kehadiran Pepsi sebagai penaja utama bukan sahaja menyuntik elemen korporat berprofil tinggi ke dalam festival yang akan berlangsung dari 25 Julai hingga 17 Ogos depan, malah memberi nafas baharu kepada landskap gastronomi bandar raya Kuching.
Lebih 300 gerai makanan dijangka menghiasi tapak festival setiap malam, menawarkan pelbagai juadah tempatan dan antarabangsa yang dijangka menarik puluhan ribu pengunjung dari dalam dan luar negara.
Menurut Datuk Bandar MBKS, Dato Wee Hong Seng, kerjasama ini bukan sahaja memberi manfaat kewangan tetapi juga memperkukuh nilai tanggungjawab sosial korporat dan semangat perkongsian.
“Ini mencerminkan pemahaman mendalam Pepsi terhadap peranan syarikat dalam memperkayakan kehidupan masyarakat,” ujarnya.
Beliau turut menyatakan bahawa pengiktirafan Kuching sebagai sebahagian daripada Rangkaian Bandar Kreatif UNESCO dalam bidang Gastronomi adalah bukti komitmen bandar ini terhadap kelestarian, inovasi dan tradisi kulinari.
“Marilah kita terus berganding bahu mempromosikan Kuching sebagai sebuah bandar yang dinamik dan inklusif, yang meraikan kepelbagaian, menghormati tradisi dan mengalu-alukan inovasi,” katanya.
Pihak MBKS menzahirkan penghargaan kepada Pepsi atas keyakinan dan sokongan mereka, serta berharap kerjasama strategik ini akan diteruskan untuk tahun-tahun akan datang.
Dengan kekuatan jenama global seperti Pepsi dan semangat rakyat Kuching yang sentiasa membara, Pesta Makanan Kuching 2025 dijangka menjadi antara festival paling meriah dalam sejarah penganjurannya.
Turu hadir Ketua Pegawai Eksekutif Pepsi Malaysia, Singapura, Brunei & Eksport (Halal), Mr. Santharuban, Naib Presiden Borneo, Mr. Andy Chai, Naib Presiden Pemasaran, Ms. Amy Gan, dan Pengurus Kanan Pemasaran Perdagangan, Mr. Shahmeez Reza.
Oleh Norman B.