BARU-baru ini, Kementerian Ekonomi mengeluarkan kenyataan mengenai Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS). Menurut Menteri Ekonomi, semasa mesyuarat Majlis Tenaga Negara pada 2 Ogos 2024, berkaitan dengan rangka kerja perundangan yang dicadangkan untuk industri CCUS, Kerajaan Persekutuan mengambil maklum isu-isu yang dibangkitkan oleh Premier Sarawak berhubung perbezaan tafsiran sempadan negeri antara kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan.
Premier Sarawak juga menekankan bahawa mana-mana perniagaan di negeri ini terutamanya yang melibatkan perdagangan mesti menghormati sebarang keputusan dan hak-hak Sarawak. Perspektif Menteri Ekonomi ialah apa-apa rangka kerja pembangunan CCUS di negara ini akan berpandukan dan terikat kepada nasihat Jabatan Peguam Negara (AGC).
Aspek ini meliputi isu berkaitan tafsiran sempadan antara Persekutuan dan negeri yang digariskan dalam Akta Pelantar Benua (1966), Akta Zon Ekonomi Eksklusif (1984) dan Akta Laut Wilayah (2012). Kementerian ekonomi juga menyatakan bahawa saluran Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) mencapai kemajuan yang memuaskan bagi mencari penyelesaian isu-isu tertunggak antara Kerajaan Persekutuan, Sabah, dan Sarawak.
Namun, diakui terdapat perbezaan tafsiran sempadan (antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sarawak) sedang berlaku dan ini juga akan ada hubung kait dengan perundangan CCUS yang sedang dibincangkan.
Reaksi balas Sarawak
Tidak sampai 24 jam kenyataan Kementerian Ekonomi dikemukakan oleh Rafizi Ramli, terdapat kenyataan balas daripada Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Persekutuan-Negeri), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali mengenai isu CCUS itu.
Sharifah Hasidah menyatakan kerajaan Sarawak agak terkejut dengan kenyataan akhbar daripada Menteri Ekonomi tersebut yang menyatakan terdapat isu-isu berkaitan sempadan antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sarawak dengan merujuk kepada Akta Pelantar Benua 1966, Akta Zon Ekonomi Eksklusif 1984 dan Akta Laut Wilayah 2012. Kenyataan akhbar tersebut seolah-olah mendakwa bahawa terdapat perbincangan mengenai perbezaan tafsiran sempadan (antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sarawak) juga berlaku di Majlis Tenaga Negara tersebut. Yang sebenarnya ialah lebih berfokus mengenai kuasa kerajaan Sarawak ke atas projek CCUS di Sarawak
Penegasan Sarawak
Sharifah Hasidah menegaskan mengenai pendirian kerajaan Sarawak bahawa sempadan Sarawak bukanlah perkara yang dibincangkan melalui platform MA63. Sempadan Sarawak termasuk Pelantar Benua, hak-hak di dalamnya, tidak boleh menjadi subjek kepada sebarang rundingan. Hal ini kerana perkara ini telah dijelaskan oleh Premier dalam mesyuarat Jawatankuasa Pemandu pertama mengenai Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 pada 17 Disember 2018.
Hakikatnya menurut beliau, sempadan Sarawak telah diperluaskan oleh Perintah Sarawak (Perubahan Sempadan) 1954 untuk memasukkan kawasan pelantar benua, iaitu dasar laut dan tanah di bawahnya yang terletak di bawah laut lepas yang bersempadan dengan perairan wilayah Sarawak. Pelantar benua serta dasar laut dan tanah di bawahnya jatuh di bawah definisi ‘tanah negeri’ di bawah Seksyen 2 Kanun Tanah dan berada di bawah kawalan kerajaan Sarawak menurut Seksyen 12 Kanun tersebut. Oleh itu, pelantar benua dalam sempadan Sarawak adalah sebahagian dari wilayah Sarawak.
Beliau juga menyatakan bahawa Perkara 1(3) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa wilayah Sarawak adalah wilayah yang termasuk di dalamnya sebelum Hari Malaysia. Oleh itu, selepas Hari Malaysia, pelantar benua adalah sebahagian dari wilayah Sarawak dan mana-mana undang-undang yang diluluskan oleh Badan Perundangan Negeri menurut Perkara 73(b) terpakai ke atas pelantar benua dalam sempadan Sarawak.
CCUS
Begitu juga dalam hal ehwal penyimpanan karbon melibatkan penggunaan dan pendudukan tanah negeri Sarawak dan oleh itu, mesti dikawal mengikut undang-undang negeri. Sharifah Hasidah mewakili kerajaan Sarawak membuat kritikan bahawa kenyataan akhbar oleh Menteri Ekonomi cuba mentafsirkan sempadan Sarawak dengan merujuk hanya kepada tiga Akta Parlimen tersebut tetapi gagal sama sekali mempertimbangkan Perintah Sarawak (Perubahan Sempadan) 1954 dan Kanun Tanah serta Perkara 1(3) Perlembagaan Persekutuan. Bagi Sharifah Hasidah, undang-undang ini adalah jelas dan tidak mengelirukan serta tidak meninggalkan ruang untuk tafsiran yang berbeza.
Hal ini kerana Akta Pelantar Benua 1966 telah dilanjutkan ke Sarawak melalui Ordinan Kuasa-kuasa Perlu dalam Darurat No.10, 1969. Ordinan Darurat ini telah tamat tempoh di bawah Perkara 150(7) Perlembagaan Persekutuan. Oleh itu, akta ini tidak lagi terpakai di Sarawak. Walaupun akta ini masih terpakai di Sarawak, definisi ‘pelantar benua’ dalam akta ini dengan jelas menyatakan bahawa pelantar benua tidak akan menjejaskan wilayah negeri atau had perairan wilayah negeri dan hak serta kuasa Pihak Berkuasa Negeri di dalamnya.
Oleh itu, Akta Pelantar Benua 1966 tidak menjejaskan wilayah Sarawak dan hak serta kuasa kerajaan Sarawak ke atas bahagian pelantar benua yang terletak dalam sempadan Sarawak. Demikian perincian penjelasan dikemukakan oleh Sharifah Hasidah.
Justeru, telah dikatakan bahawa kerajaan Sarawak telah memaklumkan kepada Kementerian Ekonomi bahawa Rang Undang-Undang CCUS yang dicadangkan tidak harus terpakai di Sarawak. Namun seperti dipersetujui antara Perdana Menteri dan Premier, kerajaan Sarawak akan bersedia untuk bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dalam mempromosikan dan membangunkan industri CCUS di Sarawak mengikut undang-undang negeri Sarawak.
Dengan kata lain, pendirian kerajaan Sarawak ialah semua projek penyimpanan karbon yang dijalankan dalam sempadan Sarawak mesti dikawal oleh undang-undang negeri dan kertas tersebut diterima tanpa bantahan oleh ahli majlis pada 2 Ogos 2024 yang lalu.
Analisis
Ternyata pihak kerajaan kedua-dua pihak kerajaan perlu lebih berhati-hati dalam mengusulkan rang undang-undang ini supaya tidak menjejaskan autonomi Sarawak dalam memajukan rang undang-undang ini. Kerajaan Sarawak telah menegaskan kuasanya ke atas projek CCUS dalam sempadannya, berdasarkan Perintah Sarawak (Perubahan Sempadan) 1954, Kanun Tanah, dan Perkara 1(3) Perlembagaan Persekutuan.
Sebarang undang-undang persekutuan yang boleh menjejaskan autonomi atau hak wilayah Sarawak boleh mencetuskan bantahan yang ketara, dan boleh menyebabkan konflik lebih besar dalam hubungan persekutuan-negeri. Oleh itu, pendekatan yang lebih halus melalui perundingan dan rundingan yang lebih baik, diperlukan untuk mengelakkan konflik dan menghormati autonomi Sarawak.
Situasi ini menunjukkan masih terdapat perkara yang belum selesai dalam perbincangan MA63. Tafsiran yang berbeza-beza mengenai sempadan antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sarawak, seperti yang disebut oleh Menteri Ekonomi dan sebelum ini oleh Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof menunjukkan bahawa walaupun terdapat kemajuan, isu-isu yang signifikan masih wujud.
Platform MA63, walaupun telah mencapai kemajuan, masih menghadapi cabaran dalam menyelesaikan perbezaan ini terutamanya berkaitan dengan tuntutan wilayah Sarawak dan implikasi undang-undang persekutuan terhadap autonomi negeri.
Pada masa sama, kawalan ke atas sumber luar pesisir di perairannya perlu menjadi pencapaian penting bagi Sarawak/Sabah kerana ini akan mewakili penegasan yang ketara terhadap hak dan autonomi mereka, khususnya dalam menguruskan sumber asli mereka. Kawalan sedemikian bukan sahaja akan meningkatkan prospek ekonomi mereka, tetapi juga mengukuhkan pengaruh politik mereka dalam rundingan dengan Kerajaan Persekutuan. Maka ini akan menandakan perubahan ketara dalam keseimbangan kuasa dan pengurusan sumber antara pihak negeri dan persekutuan.
Apa pun, pentingnya bagi Kerajaan Persekutuan kerajaan untuk melibatkan Sabah dan Sarawak dalam industri CCUS kerana potensi sumber di Laut China Selatan. Penglibatan negeri-negeri ini akan memastikan mereka mendapat manfaat daripada eksploitasi sumber mereka, yang boleh meningkatkan ekonomi dengan ketara. Pendekatan perlu diubah, dengan memberi tumpuan kepada kerjasama yang lebih besar dan memastikan hak negeri dihormati.
Aspek ini boleh melibatkan penubuhan usahasama, perjanjian perkongsian hasil, atau mekanisme lain yang membolehkan pengagihan manfaat yang lebih saksama sambil juga menghormati autonomi Sabah dan Sarawak.
- Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL).