Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KOLUMNIS
  • Penyiasat PBB dalam pembentukan Malaysia
  • KOLUMNIS

Penyiasat PBB dalam pembentukan Malaysia

Utusan Sarawak 7 hours ago

BULAN ini merupakan satu bulan istimewa kepada negara kita. Hal ini dikaitkan dengan tarikh penubuhan Malaysia pada 16 September.

Bagaimanakah tarikh ini dipilih sebagai tarikh penubuhan Malaysia? Pada asalnya menerusi Perjanjian Malaysia, tarikh penubuhan Malaysia adalah pada 31 Ogos. 

Hal ini dipersetujui oleh semua pemimpin yang hadir dan menandatangani perjanjian tersebut pada 11.00 malam 8 Julai 1963 di Marlborough House, London.

Walaupun perjanjian ini telah ditandatangani tetapi hal ini tidak meredakan bantahan dari Indonesia dan Filipina. 

Dalam hal ini Tunku Abdul Rahman cuba menyelesaikan isu bantahan ini dengan baik menerusi saluran diplomatik.

Beliau telah berjumpa dan mengadakan mesyuarat dengan Presiden Sukarno dan Presiden Diosdado Macapagal di Manila.

Akhirnya ‘Manila Accord’ (Perjanjian Manila) telah ditandatangani di Manila pada 11 Jun 1963. 

Antara persetujuan yang mereka capai adalah Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atau wakilnya memastikan bahawa harapan dan aspirasi penduduk Sarawak dan Sabah yang sebenar sehubungan dengan hak penentuan diri menerusi Resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 1541 (XV) Perkara 9.

‘MANILA Accord’ (Perjanjian Manila) telah ditandatangani di Manila pada 11 Jun 1963.

Persetujuan

Menerusi kenyataan ini jelas bahawa dinyatakan juga bahawa Setiausaha Agung diminta untuk menghantar satu pasukan kerja untuk meninjau kehendak dan reaksi penduduk di Sarawak dan Sabah mengenai penubuhan Malaysia.   

Hal ini menimbulkan reaksi kurang senang dalam kalangan pemimpin yang pro-Malaysia di Sarawak. 

Ketua Menteri Sarawak, Stephen Kalong Ningkan telah berjumpa dengan Tunku Abdul Rahman untuk mendapat penjelasan.

Lee Kuan Yew pula tidak memperdulikan persetujuan yang terdapat pada ‘Manila Accord’ apabila mengisytiharkan kemerdekaan dan pembentukan Malaysia pada tarikh 31 Ogos 1963.

Pemimpin Sarawak walaupun membantah ‘Manila Accord’ tetapi akur dengan nasihat Tunku Abdul Rahman.

Atas sebab itu sambutan pembentukan Malaysia pada 31 Ogos 1963 telah dibatalkan. 

Pada 29 Ogos 1963, satu persetujuan telah dicapai bagi Sabah, Sarawak, Singapura dan Tanah Melayu untuk menundakan tarikh pembentukan Malaysia.

Setiausaha Agung PBB, U Thant pada 12 Ogos 1963 telah mengumumkan pembentukan satu kumpulan penyiasat yang dikenali sebagai Utusan Peninjau Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nations Malaysia Mission).

Pasukan itu terdiri daripada lapan orang yang diketuai oleh Laurence Michelmore dari Amerika Syarikat.

Timbalannya pula adalah George Jenecek dari Chekoslovakia. Ahli-ahli lain pula terdiri daripada wakil-wakil pelbagai negara iaitu Argentina, Brazil, Sri Lanka, Pakistan, Jepun dan Republik Arab Bersatu.

SETIAUSAHA Agung PBB, U Thant pada 12 Ogos 1963 telah mengumumkan pembentukan satu kumpulan penyiasat dikenali sebagai Utusan Peninjau Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nations Malaysia Mission).

Penyiasat

Bagi melancarkan siasatan, maka pasukan penyiasat PBB ini dibahagi kepada dua kumpulan. 

Kumpulan pertama seramai empat orang akan menjalankan siasatan di Sarawak. Siasatan di Sarawak diketuai oleh Michelmore sendiri.

Kumpulan kedua menjalankan siasatan di Sabah. Mereka telah menjalankan operasi siasatan dari 16 Ogos 1963 sehingga 5 September 1963.

Siasatan sebenarnya dimulakan pada 26 Ogos 1963. Michelmore berharap bahawa siasatan mereka ini dapat dilengkapkan pada 31 Ogos 1963 tetapi dapatannya mungkin tidak dapat diketahui secepat mungkin. 

Hal ini disahkan oleh salah seorang ahli utusan ini iaitu A. S. Dajani. Menurut beliau oleh kerana dapatan mungkin tidak dapat diketuai secepat mungkin, maka tarikh penubuhan Malaysia akan dilanjutkan lagi.

Pada peringkat awal terdapat masalah tentang kehadiran pemerhati dari Indonesia dan Filipina. 

Ini kerana wakil-wakil negara tersebut tidak hadir pada masa siasatan dibuat.

Hal ini menimbul persoalan kerana adakah perlu dilakukan siasatan tanpa kehadiran pemerhati kedua-dua negara.

Jurucakap utusan ini iaitu G. Howard menyatakan utusan ini akan tetap digerakkan dengan andaian bahawa pemerhati dari kedua-dua negara akan datang pada masa yang ditetapkan.

Dengan keputusan sedemikain, utusan ini meneruskan siasatan di beberapa tempat di Sarawak. Mereka menemubual pihak persatuan dan juga parti politik.

Mereka juga berjumpa wakil-wail rakyat dan ketua-ketua kumpulan serta sesiapa sahaja yang hendak menyampaikan pendapat mereka.

Kontroversi antara Tanah Melayu dan Indonesia serta Filipina berterusan apabila Tunku Abdul Rahman menganggap penyiasat PBB bukan syarat penubuhan Malaysia. 

Ini kerana Tunku Abdul Rahman menyatakan bahawa sebahagian besar rakyat di kedua-dua wilayah ini bersetuju dengan Malaysia berdasarkan rundingan dan pilihan raya yang telah diadakan.

Dapatan

Setelah melakukan penyiasatan dan penilaian, maka penyiasat PBB mendapati bahawa penubuhan Malaysia menepati resolusi Perhimpunan Agung 1541 (XV) Perkara 9. 

Namun demikian dapatan daripada penyiasat PBB ini tidak dapat diterima oleh Indonesia dan Filipina.

Indonesia mengambil langkah kekerasan untuk meneruskan agenda Gayang Malaysia, manakala Filipina menggunakan bantahan diplomatik untuk menuntut Sabah.

Walaupun bantahan-bantahan ini dilakukan tetapi Tunku Abdul Rahman bersama pemimpin pro-Malaysia di Sarawak dan Sabah serta Singapura tetap teguh untuk menubuh Malaysia.

Akhirnya tanpa memperdulikan bantahan ini di Padang Sentral (hari ini dikenali Padang Merdeka) pengumuman pembentukan Malaysia telah dibuat.

Kekentalan

Selepas pengisytiharaan ini, cabaran lebih besar dialami oleh Sarawak kerana pencerobohan tentera Indonesia di sempadan amat mencemaskan rakyat Sarawak. 

Hal ini ditambah lagi dengan ada ancaman komunis yang menganggu gugat keharmonian penduduk di Sarawak. 

Kekentalan rakyat Sarawak untuk merdeka menerusi hasrat mereka sendiri tidak dapat halang. 

Malaysia tetap dihati penduduk Sarawak walaupun mengharungi kegetiran yang hampir mengancam perpaduan Malaysia apabila Singapura telah dikeluarkan dari Malaysia pada 1965. 

Pada hari ini telah genap 62 tahun Malaysia terbentuk, dan ia mencermin sokongan berterusan penduduk Sarawak untuk menjunjung Malaysia walaupun terdapat beberapa perkara belum selesai dalam Perjanjian Malaysia.

  • Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Program Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Continue Reading

Previous: Bersara umur 60 atau bersambung hingga 65 tahun

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.