
KUCHING: Larian Berita Terkini 2025 mencatat penyertaan sulung lebih 600 peserta daripada pelbagai latar belakang termasuk pengamal media, pelajar, keluarga dan pelari profesional.
Acara ini bukan sekadar platform kecergasan, malah menjadi simbol perpaduan, gaya hidup sihat dan solidariti dalam kalangan masyarakat.
Acara tersebut dianjurkan bersama oleh Persatuan Wartawan Komanwel (CJA) Cawangan Sarawak dan Persatuan Wartawan Bahagian Kuching (KDJA), dengan kerjasama Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) serta sokongan pelbagai rakan strategik dan penaja.
Datuk Bandar Kuching Selatan, Datuk Wee Hong Seng, menyatakan rasa bangga terhadap penglibatan aktif wartawan dalam program sebegini.
“Saya sangat gembira melihat wartawan turun padang hari ini. Anda bukan sahaja menyumbang melalui tulisan dan laporan, tetapi juga menunjukkan teladan dalam gaya hidup sihat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa pelepasan larian di pekarangan MBKS, hari ini.
Menurut beliau, dalam kesibukan kerjaya yang menuntut komitmen tinggi, wartawan sering tidak mempunyai masa untuk bersenam. Justeru, program seperti ini memberi ruang kepada mereka untuk turut serta dalam aktiviti sihat bersama komuniti.
“Anda semua memiliki ‘senjata’ paling berpengaruh pena dan media yang mampu mengubah persepsi masyarakat. Bila badan sihat, fikiran pun cergas, dan hasil kerja lebih berkualiti,” ujarnya.
Beliau turut menekankan bahawa senaman seperti berlari bukan sahaja menyumbang kepada kesihatan tubuh, tetapi juga membantu memperbaiki kualiti tidur, melancarkan peredaran darah dan meningkatkan kecekapan otak.
Acara kemuncak HSL 10KM menyaksikan Vucos muncul juara kategori lelaki, diikuti Mustafa dan Erirko Might Gambang.
Sementara itu, Lim Siet Fah menjuarai kategori wanita, menewaskan Sharon Chew di tempat kedua dan NaNa @ Linwei Na di tempat ketiga.
Selain acara utama 10KM, kategori 5KM dan 3KM turut menarik penyertaan peserta dari pelbagai peringkat umur, termasuk keluarga dan warga emas.
Acara dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti sampingan termasuk reruai kesihatan, cabutan bertuah, serta ruang interaksi media-masyarakat sempena pengambilan pek larian dua hari sebelumnya.
Program ini turut mendapat tajaan daripada HSL sebagai penaja utama, serta sokongan daripada syarikat dan tokoh ternama seperti Petra Energy Bhd, Sarawak Metro Sdn. Bhd., DreamMaster Corporation Sdn. Bhd., BorsarMulu Park Management Sdn. Bhd., Health Lane Pharmacy, serta Datuk Shankar Ram dan Datuk Richard Wee.
Turut hadir Presiden CJA, Alice Wee, Presiden KDJA, Ronnie Teo dan Ketua Komunikasi Pemasaran HSL, Abraham Tiong.
Oleh Shikin Mahmud