
KABONG: Sambutan Maulidur Rasul peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kabong tahun ini mencatat sejarah tersebdiri apabila seramai 1,411 peserta daripada 61 kontinjen mengambil bahagian dalam perarakan yang diadakan hari ini.
Jumlah penyertaan tersebut menunjukkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya sekali gus menjadi bukti kecintaan umat Islam terhadap junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Majlis bersempena tarikh kelahiran Rasulullah SAW itu telah dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir yang menyifatkan 12 Rabiulawal sebagai tarikh keramat dan penuh keberkatan.
“Sambutan Maulidur Rasul diraikan dengan pelbagai cara, namun matlamat utamanya tetap satu iaitu mengingati, menghayati dan meneladani perjuangan serta pengorbanan Rasulullah SAW,” katanya ketika berucap.

Chee Kadir turut berharap agar penyertaan pada tahun depan akan terus meningkat serta mennggesa agar tema sambutan kali ini ‘Ummah Maju Makmur’, dapat diterapkan dalam kehidupan bermasyarakat bagi melahirkan komuniti harmoni, sejahtera dan saling hormat-menghormati.
Seperti lazimnya, sambutan diserikan dengan pertandingan perarakan dan sepanduk yang disertai pelbagai kategori.

Bagi Kategori A (Jabatan/Agensi/Badan Berkanun/Swasta/Institusi Pendidikan) pertandingan sepanduk, SMK Kabong muncul sebagai johan, Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Alit naib johan dan tempat ketiga Persatuan Nelayan Kawasan Kabong.
Bagi Kategori B (Masjid/Surau/Kelab/Persatuan/Pertubuhan), Surau Khairul Ummah Kampung Sessang muncul johan, naib johan pula Surau Darul Nadwah Kabong dan tempat ketiga Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Kabong.

Bagi Kategori C Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), johan telah disandang oleh JKKK Kampung Baru Kabong, JKKK Kampung Hilir Darat Kabong sebagai naib johan dan JKKK Kampung Hilir Laut ditempat ketiga.
Selain itu, bagi keputusan pertandingan perarakan kontinjen pula dimenangi oleh Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kabong, SK Abang Leman Kabong sebagai naib johan dan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Daerah Saratok ditempat ketiga.
Setiap pemenang menerima wang tunai dan piala, dengan johan membawa pulang RM1,000, naib johan RM700, ketiga RM500, manakala saguhati sebanyak RM200 diberikan kepada kontinjen lain.
Oleh Adi Safarman