SARIKEI: Penyertaan pasukan Sarikei dalam Liga Premier Sarawak 2026 membuka ruang kepada pemain tempatan mengembangkan potensi dan mencungkil bakat baharu yang mampu diketengahkan dalam arena bola sepak negeri.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata, penyertaan dalam saingan kompetitif penting bagi memberi pendedahan serta pengalaman kepada pemain untuk terus meningkatkan prestasi.
Katanya, sokongan berterusan terhadap pasukan Sarikei juga mampu menjadi pembakar semangat kepada pemain untuk memberikan persembahan terbaik sepanjang mengharungi saingan liga.
“Diharapkan pasukan Sarikei terus memberikan persembahan terbaik dalam setiap perlawanan dan tidak mudah berputus asa.

“Sokongan daripada masyarakat juga amat penting bagi memberi semangat dan motivasi kepada para pemain,” katanya.
Huang yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok berkata demikian ketika hadir menyaksikan perlawanan bola sepak Liga Premier Sarawak 2026 yang melibatkan pasukan Sarikei, semalam.
Tambahnya, pembangunan bola sepak tidak hanya bergantung kepada prestasi sesebuah pasukan dalam pertandingan, sebaliknya memerlukan usaha berterusan untuk menyediakan ruang kepada bakat tempatan berkembang.
“Justeru, usaha membangunkan sukan di peringkat akar umbi perlu diperkasakan menerusi kerjasama persatuan sukan, komuniti setempat, pihak swasta serta agensi kerajaan.
“Pendekatan itu penting bagi mewujudkan ekosistem pembangunan sukan yang dapat memberi lebih banyak peluang kepada golongan muda untuk mengasah kemampuan dan memperoleh pengalaman dalam pertandingan kompetitif.
“Penyertaan dalam Liga Premier Sarawak juga memberi peluang kepada pemain Sarikei berdepan pasukan dari bahagian lain, sekali gus menguji kemampuan dan tahap permainan mereka sepanjang saingan berlangsung,” katanya.
Turut hadir menyaksikan perlawanan bola sepak Liga Premier Sarawak 2026 ialah Ahli Parlimen Tanjong Manis, Dato Ir. Yusuf Abd Wahab.
Dalam saingan Liga Premier Sarawak 2026, pasukan Sarikei dijadualkan berdepan beberapa pasukan termasuk Limbang FA, Sibu FA, Bintulu FA, Kapit FA, Mukah FA dan Miri FA.
Oleh Earl Anek





