Institut Latihan Perindustrian (ILP) Miri menjemput pelajar sekolah menengah, institusi pengajian tinggi dan orang awam untuk menyertai Pameran Kreativiti, Inovasi dan Teknologi Miri (Miri Creativity, Innovation and Technology Exhibition – MCITEX) Peringkat Negeri Sarawak.
Pameran yang berkonsepkan pertandingan yang menggalakkan budaya kreativiti dan inovasi ini dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak (MESTR), Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) dan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).
Pertandingan ini pada asalnya dianjurkan dalam kalangan pelajar, pendidik dan kakitangan ILP Miri sejak 2015. Mereka telah menjadikan acara ini sebagai acara tahunan institut. Pada tahun 2017, Pertandingan Kreativiti dan Inovasi ini telah ditukar nama baru iaitu Miri Innovation and Technology Competition (MCiTeC) sehingga penganjuran 2019. Pada tahun 2019 pula, penganjuran MCiTeC julung kalinya dibuka kepada institusi dan sekolah di sekitar Miri dan tahun ini, ILP Miri menukar nama pertandingan kepada Miri Creativity, and Technology Exhibition (MCiTeX). Ia pertama kalinya dibuka kepada tiga kategori iaitu Sekolah Menengah, IPT (IPTA/IPTS/ILKA/ILKS) di Sarawak dan kategori Terbuka bagi Agensi Kerajaan, Agensi Swasta, Individu dan lain- lain di Sarawak, Sabah dan Labuan.
Pertandingan tahun ini juga dilaksanakan pertama kalinya dalam talian memandangkan negara masih berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik COVID-19.
Menurut jurucakap ILP Miri, matlamat penganjuran MCITEX adalah untuk memberi pendekatan kepada para peserta dalam melakukan aktiviti yang menjana daya inovatif dan memupuk minat peserta terhadap sesuatu yang menjana kreativiti minda.
Ia juga bagi memupuk daya kreativiti peserta dalam mengembangkan bakat mereka ke peringkat yang lebih tinggi serta sebagai pendedahan awal kepada pertandingan inovasi dan rekacipta di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa.
MCITEX juga diharapkan dapat melahirkan modal insan berminda kelas pertama dalam inovasi dan rekacipta serta menyediakan satu wadah untuk persaingan yang positif. Ia turut akan memberi pengiktirafan dan publisiti atau promosi kepada hasil-hasil inovasi yang mampu mendatangkan manfaat apabila diamalkan bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan atau produk yang ditawarkan.
Tiada yuran penyertaan dikenakan untuk Kategori Sekolah Menengah manakala untuk IPT, yuran penyertaan adalah sebanyak RM100.00 dan untuk Kategori Terbuka RM150.00 setiap penyertaan.
Hadiah-hadiah menarik menanti pemenang-pemenang setiap kategori iaitu wang tunai RM1,000.00 untuk tempat pertama kategori Sekolah Menengah, RM700.00 untuk tempat kedua dan RM500.00 untuk tempat ketiga. Bagi kategori IPT pula, hadiah utama adalah wang tunai 1,500.00 manakala tempat kedua bakal menerima RM1,000.00 dan tempat ketiga RM700.00. Hadiah lumayan berbentuk wang tunai sebanyak RM2,500.00 menanti pemenang utama kategori Terbuka, RM1,500.00 untuk tempat kedua dan RM1,000.00 untuk tempat ketiga.
Pemenang-pemenang juga akan menerima pingat dan sijil penyertaan. Terdapat juga Anugerah Projek Paling Popular untuk menjadi rebutan para peserta.
Pendaftaran untuk penyertaan akan ditutup pada 20 September ini dan tarikh pertandingan adalah pada 11 sehingga 14 Oktober 2021. Majlis penutup pula akan berlangsung pada 15 Oktober 2021.
Untuk maklumat lanjut dan cara penyertaan, mereka yang berminat boleh menghubungi Siti Salbiah Zakaria di talian 085-644384, e-mel mcitex.ilpmiri@gmail.com atau layari laman Facebook MCiTeX 2021.
Oleh SOFIE SOFIAN