Kita jarang-jarang belajar daripada kesilapan silam. Pun kita kurang cenderung menimba pengajaran daripada sejarah. Tuntutan kemajuan terlalu mudah menyebabkan kita hanyut dalam arus yang melontarkan kita ke jurang kemusnahan. Kemusnahan diri dan kemusnahan warisan budaya bangsa. Gamitan dan pujukan halus budaya asing terlalu kuat sehingga kita terlalu mudah mengagung-agungkan unsur asing, lantas melepaskan dan membiarkan budaya bangsa terpinggir, sedangkan warga dari negara luar menghargai dan mengagumi kehalusan seni budaya yang kita warisi.
Kehalusan hasil seni budaya bangsa kita memancarkan kehalusan budi dan keindahan pekerti penghasil atau pelakunya. Seni tari asli, contohnya, yang gemalai gerak dan lenggoknya adalah pancaran kesantunan dan kelembutan tingkah laku masyarakat kita suatu masa dahulu. Hal ini amat berbeza dengan tarian era kini yang pantas, agresif dan tiada nilai kelembutan dalam gerak dan langkahnya. Tarian sedemikian adalah tafsiran pergolakan jiwa anak muda masa kini yang lebih gemar bergerak pantas, di samping agresif dalam tindak tanduk serta perlakuan mereka. Sikap agresif sememangnya amat dituntut dalam hal-hal tertentu yang membawa kepada hasil yang positif. Agresif dalam persaingan sihat bagi menentukan hala tuju diri dan negara, merupakan sikap yang harus disemai dalam jiwa golongan muda untuk mengecapi kejayaan. Namun, keagresifan muda mudi era dunia tanpa sempadan ini melangkaui batas tatasusila dan tatakrama masyarakat kita yang kehalusan budi bahasanya rapi dipelihara.
Dari aspek kehalusan seni bina silam, terbukti bahawa anak tempatan kita tidak kurang dari segi kemahirannya. Kemahiran ini diterapkan dalam penghasilan seni reka binaan yang bukan sahaja unik dari aspek strukturnya, malah memperlihatkan keprihatinan tukangnya menyediakan ruang yang selesa dan mesra alam. Dalam seni bina moden, aspek keselesaan semakin kurang diberikan perhatian memandangkan tuntutan pengehadan atau pengekonomian ruang akibat daripada ledakan kemajuan yang memberi penekanan kepada keuntungan. Pun kerana seni bina moden berpegang kepada prinsip reka bentuk berdasarkan fungsi. Namun, akhir-akhir ini terlihat usaha dalam kalangan arkitek tempatan menggabungjalinkan elemen seni bina tempatan dan elemen seni bina moden bagi menghasilkan binaan yang menerapkan unsur kearifan tempatan.
Usaha menerapkan unsur budaya bangsa dalam seni bina moden berhadapan dengan cabaran yang besar kerana kedua-duanya saling bertentangan. Namun, kesedaran arkitek tempatan akan potensi penerapan unsur setempat dalam reka bentuk seni bina moden memperlihatkan citra bangsa diterjemahkan lewat pembinaan bangunan-bangunan seperti Masjid Negara, Bangunan Parlimen, Muzium Negara, Pejabat BBMB dan Bangunan Telekom Malaysia dan seumpamanya. Sensitiviti terhadap fungsi dan peranan reka bentuk rumah tradisi pelbagai kaum di negara ini turut menjadi faktor pendorong ke arah penerapan elemen seni bina tradisional dalam reka bentuk bangunan pejabat serta kediaman di negara ini.
Dalam konteks Sarawak, penampilan elemen seni budaya masyarakat berbilang kaum jelas kelihatan dalam reka bentuk bangunan-bangunan serta mercu tanda tertentu, umpamanya, Bangunan Dewan Undangan Negeri (bangunan lama dan baharu), Jambatan Darul Hana, Bangunan DBKU dan MBKS dan beberapa buah bangunan lain di segenap bahagian yang menjadi lambang keindahan serta serlahan ketinggian warisan seni budaya. Usaha penyerlahan sedemikian tidak terbias daripada pandangan kerajaan, khususnya, serta pihak-pihak yang terlibat secara langsung dari segi perancangan serta perangkaan pelan biru pembinaan, amnya.
Kesedaran terhadap kehalusan dan keunikan seni budaya bangsa sewajarnya diterapkan dalam jiwa setiap masyarakat, terutama sekali golongan muda. Unsur yang lama tidak semestinya lapuk, manakala unsur yang baharu tidak semestinya elok. Namun, gabung jalin antara unsur lama dan idea baharu ada kalanya mampu melahirkan keunikan dan keindahan yang tersendiri, keindahan yang mencerminkan kehalusan budi dan seni masyarakat negara kita. Kita tidak mahu seni budaya bangsa tenggelam ditelan arus pembangunan. Jangan nanti apa-apa yang kita kejar tidak dapat, manakala segala apa yang kita kendong pula berciciran, dan akhirnya dikutip untuk dijadikan sebagai hak milik orang lain. Membudayakan sikap cinta akan warisan bangsa tanggungjawab yang harus digalas bersama. Semoga kesinambungan pendekatan penerapan elemen kearifan tempatan berterusan bagi memastikan warisan budaya pelbagai kaum kekal terpelihara.
Lindungi diri, lindungi bangsa, lindungi negara!