RAMBOUILLET: Seorang lelaki warga Tunisia yang menikam hingga mati seorang pegawai polis di luar Paris menyaksikan video propaganda jihad sebelum serangan itu, kata pendakwa anti-pengganas Perancis pada Ahad lalu sambil menambah bahawa orang kelima ditahan untuk disoal siasat.
Berdasarkan analisis telefon bimbit pembunuh dan juga catatan media sosialnya, “radikalisasi nampaknya tidak diragukan lagi,” kata Jean-Francois Ricard pada sidang media.
Penyerang berusia 36 tahun yang dikenali sebagai Jamel Gorchene menikam seorang wanita yang bekerja di balai polis di Rambouillet, pinggir bandar barat daya Paris, pada Jumaat lalu ketika dia kembali daripada rehat.
“Suspek berlari ke ruang masuk bangunan menarik mangsa dari belakang dan menikamnya di perut dan kerongkong sambil menjerit “Allahu Akbar” (Tuhan Maha Besar),” kata Ricard.
Seorang pegawai di bangunan itu menembak Gorchene setelah dia menolak perintah untuk menjatuhkan pisau 22 sentimeter yang dipegangnya.
Penyiasat kemudian mendapati bahawa suspek telah menonton video lagu yang memuji pejuang jihad di telefonnya beberapa saat sebelum serangan itu.
“Al-Quran dan sejadah juga ditemui di skuter tertuduh selepas itu,” kata Ricard.
Tambahnya, kamera pengawasan video juga menunjukkan bahawa Gorchene mengunjungi ruang solat sementara di Rambouillet beberapa jam sebelum tiba di stesen walaupun gambar tersebut tidak mengesahkan jika dia memasuki bangunan.
“Ayah Gorchene yang masih ditahan untuk disoal siat pada Ahad lalu mendedahkan bahawa anaknya telah mengamalkan Islam yang ketat.
“Sebaliknya, dia juga mengatakan bahawa dia telah melihat masalah tingkah laku sejak awal tahun ini,” tambahnya.
Menurut sumber kehakiman, sepasang suami isteri yang menempatkan Gorchene setelah dia tiba secara haram di Perancis pada 2009 dibebaskan daripada tahanan tanpa tuduhan.
Sementara itu, dua sepupu tertuduh masih dalam tahanan ketika penyiasat berusaha untuk mengetahui motif serangan oleh seorang lelaki yang tidak dikenali oleh mana-mana perkhidmatan perisikan Perancis dan tanpa rekod jenayah. -AFP