
Cunha mahu bersaing untuk kejuaraan, sesuatu yang besar. Foto AFP
MANCHESTER: Manchester United dilapor bakal mendapatkan penyerang antarabangsa Brazil, Matheus Cunha selepas bersetuju untuk melunaskan klausa pelepasan bernilai £62.5 juta (RM419 juta) dalam kontraknya bersama Wolves, lapor media Britain, hari ini.
Langkah pantas itu menjadi permulaan kepada proses rombakan besar-besaran skuad Ruben Amorim selepas musim terburuk kelab itu sejak kali terakhir mereka tersingkir daripada saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) 51 tahun lalu.
United menamatkan saingan liga di tangga ke-15 dan turut tewas kepada Tottenham dalam final Liga Europa, sekali gus gagal melayakkan diri ke sebarang kejohanan Eropah musim depan.
BBC melaporkan, bayaran Cunha akan dibuat dalam tiga ansuran dalam tempoh dua tahun selepas Wolves menolak cadangan United untuk melunaskan bayaran secara berperingkat selama lima tahun.
Cunha, 26, menjaringkan 17 gol musim lalu dan memainkan peranan penting membantu Wolves keluar daripada zon penyingkiran, dengan mereka menamatkan liga di belakang United hanya menerusi perbezaan jaringan.
Namun, pemain itu sudah lama menyatakan hasrat untuk meninggalkan Molineux.
“Saya sudah nyatakan dengan jelas bahawa saya perlu ambil langkah seterusnya,” kata Cunha kepada The Guardian pada Mac lalu.
“Saya mahu bersaing untuk kejuaraan, untuk sesuatu yang besar. Saya ada potensi.”
Sementara itu, ESPN pula melaporkan United turut bersedia membayar klausa pelepasan bernilai £30 juta (RM201 juta) bagi mendapatkan penyerang Ipswich Town, Liam Delap.
Penyerang skuad bawah 21 tahun England itu menjaringkan 12 gol EPL musim lalu, namun dijangka meninggalkan kelab selepas Ipswich turun kembali ke saingan Liga Kejuaraan.
Chelsea turut dilapor berminat mendapatkan Delap. – AFP