UMUMNYA tidak ramai yang mengenali Sungai Pandaruan. Hanya penduduk Limbang dan Lawas mengenali kedudukan dan kepentingan sungai tersebut. Walaupun nama sungai ini tidak terkenal seperti sungai-sungai besar Sarawak, tetapi ia mempunyai sejarah tersendiri.
Sungai ini mempunyai kepanjangan sekitar 25 batu. Keunikan sungai ini adalah ia milik dua negara, iaitu Malaysia dan Brunei.
Penyerahan Tulen
Sistem pemerintahan Brunei mengenal pemerintahan sesebuah kawasan berdasarkan sistem sungai. Salah satu sistem sungai digunakan adalah Sungai Tulin. Sungai Tulin bermaksud sungai yang dimiliki secara pusaka oleh pemiliknya.
Dalam kes Sungai Pandaruan, pemegang asal tulen ialah Pengiran Muda Mohammed Tajudin. Beliau ialah anak kepada Pengiran Muda Hashim. Seperti sungai-sungai lain di utara Borneo, Sungai Pandaruan juga menjadi rebutan kuasa asing.
Dalam kes ini Pengiran Muda Mohammed Tajudin telah memajakkan sungai ini kepada seorang saintis dan pentadbir Kerajaan Negeri Sarawak, iaitu Alfred Hart Everett. Penyerahan pajakan ini berlangsung pada 14 April 1884.
Syarat-syarat pajakan ini termasuk bayaran tahunan oleh Everett, iaitu $400 selama 10 tahun. Selepas itu dinaikkan kepada $1000. Manakala hak Everett pula adalah mengeksploitasi mineral di daerah Sungai Pandaruan. Jikalau adanya eksport minerial, maka beliau akan meningkatkan bayaran pajakan kepada $4000 setahun.
Penyerahan ini mendapat pekenan Sultan Abdul Mumin. Pekenan itu diberi pada Ogos 1884.
Reaksi Pegawai British
Proses pemajakan ini mendapat perhatian daripada Pemangku Konsul British di Labuan, iaitu William Treacher. Beliau melihat pajakan ini tidak melibatkan hak kedaulatan sungai tersebut.
Treacher memuji Everett sebagai seorang yang boleh dipercayai. Namun, beliau masih risau tentang pajakan itu akan memisahkan sungai-sungai milik Brunei kepada individu tertentu.
Sementara itu, Everett bukanlah seorang pemodal yang mempunyai dana besar untuk memajukan Sungai Pandaruan. Namun, sokongan daripada pelbagai pihak membuat beliau yakin dapat membangunkan Sungai Pandaruan.
Antara cita-cita beliau ini termasuklah cuba menarik perhatian pemodal-pemodal China di Negeri-negeri Selat bagi melakukan pembukaan kawasan pertanian komersial. Cita-cita beliau ini tidak dilaksanakan, dan beliau juga tidak bersungguh-sungguh mengeksplotasi minerial di kawasan tersebut.
Kesukaran beliau ini menyebabkan pada pertengahan tahun 1885, beliau menyerahkan pegangan pajakan ini kepada kerajaan Brooke. Walau bagaimanapun, Sultan Brunei membantah penyerahan ini. Namun, Raja Charles Brooke bertegas dan mengklasifikasi penyerahan ini seperti haknya di Brooketon, Brunei.
Isu tentang penyerahan Sungai Pandaruan ini senyap seketika sehingga tahun 1910. Satu perjanjian untuk menentukan sempadan Sarawak di Limbang dan Brunei dijalankan. Isu penentuan sempadan ini melibatkan beberapa percanggahan pendapat antara wakil kerajaan British di Brunei dengan wakil kerajaan Brooke.
Rundingan
Bagi menyelesaikan masalah ini, beberapa usaha telah dibuat untuk meredakan isu penetapan sempadan kedua-dua negara ini. Pada 29 September 1911, D.A. Owen, iaitu Residen Limbang bersama-sama dengan Robert, Pengarah Kerja Raya Brunei telah pergi ke Temburong untuk menyelesaikan isu ini.
Lawatan kedua-dua mereka ke kawasan tersebut tidak mendatangkan apa-apa hasil yang kukuh untuk penentuan sempadan Sarawak dan Brunei di sungai tersebut. Hal ini membawa kepada beberapa usaha kerajaan Brooke untuk mengesahkan bahawa Sungai Pandaruan itu memang milik Sarawak.
Hal ini ditegaskan oleh Raja Charles Brooke yang mengatakan semua hak di sungai itu adalah milik Sarawak. Namun, beliau menasihati Owen untuk berhati-hati dalam rundingan dengan pegawai British di Brunei.
Residen British di Brunei, iaitu Harvey Chevallier, berpendapat bahawa kerajaan Brooke perlu memahami akan keperluan mematuhi persetujuan tentang pajakan oleh Everett. Apa-apa perkara yang tidak mematuhi persetujuan pajakan ini akan menyebabkan pajakan ini terbatal.
Beliau menambah bahawa Kerajaan Brunei masih mempunyai hak kedaulatan pada sungai tersebut. Oleh sebab itu, Brunei boleh mengutip cukai kepala di kawasan tersebut. Chevallier juga bercadang membina Stesen Kastam di Rangau bagi memberi lesen perahu dan mensyaratkan barangan dibeli di Brunei.
Bantahan
Rancangan ini mendapat perhatian daripada Raja Charles Brooke. Beliau pada tahun 1912 membantah cadangan ini dan menghantar bantahannya kepada Persuruhjaya Tinggi British di Brunei. Beliau melihat rancangan Chevallier akan menyusahkan penduduk di Sungai Pandaruan.
Ketika itu, menurut Charles Brooke, terdapat penduduk dari kalangan orang Kedayan dan sebahagian kecil penduduk Dayak di kawasan tersebut. Mereka ini rata-rata petani dan lebih senang berurusan di bandar Limbang untuk mendapatkan barang keperluan. Oleh hal sedemikian itu, jikalau rancangan Chevallier dijalankan maka, ia menyusahkan penduduk tersebut untuk mendapat bekalan harian di Brunei yang lebih jauh daripada Pekan Limbang.
Raja Charles Brooke juga menyampaikan bantahan ini ke Pejabat Tanah Jajahan British. Dalam bantahannya, beliau menyatakan rancangan Chevallier ini akan membawa kesusahan kehidupan penduduk di kawasan tersebut. Beliau juga menegaskan hak Sarawak ke atas sungai tersebut telah diiktiraf oleh Kerajaan British.
Di sebalik rancangan Chevallier ini, terdapat usaha menekan kerajaan Brooke untuk menyerahkan Limbang. Usaha mengambil Sungai Pandaruan, pada pendapat salah seorang pegawai British, iaitu Lee-Warner, akan menyebabkan Brunei kembali makmur.
Persetujuan
Tindakan pegawai-pegawai British di Brunei mendapat perhatian di London. Setiausaha Rendah Tetap, Sir John Anderson menyatakan bahawa tidak perlu bergaduh dengan kerajaan Brooke tentang perkara-perkara yang remeh tersebut. Beliau menambah apa yang perlu, adalah mempertahankan hak-hak Brunei yang masih ada.
Sementara itu, satu persetujuan dibuat antara kerajaan Brooke dan Brunei mengenai pejabat kastam di Rangau. Dalam persetujuan ini, Kerajaan Brunei akan mengutip cukai import dan separuh cukai eksport di kawasan tersebut. Manakala kerajaan Brooke pula akan mendapat separuh lagi cukai eksport.
Penyelesaian ini meredakan sedikit isu tentang pemilikan Sungai Pandaruan. Namun, isu ini masih berpanjangan kerana tiada kata putus tentang sempadan antara kedua-dua negara ini.
Penetapan sempadan antara kedua-dua negara ini hanya tercapai pada tahun 1920. Satu perjanjian mengakui bahawa bahagian kiri sungai tersebut milik Sarawak. Manakala bahagian kanan sungai tersebut milik Brunei. Penyelesaian ini membawa kepada pembentukan sempadan antarabangsa yang ditandakan dengan Sungai Pandaruan.
Selepas itu, isu tentang sungai ini tidak lagi membelenggui kedua-dua pihak. Malahan pada hari ini Kerajaan Malaysia dan Brunei memperteguh persahabatan dengan pembinaan Jambatan Persahabatan Malaysia-Brunei merentangi sungai tersebut. Jambatan ini dibuka secara rasmi pada tahun 2013. Pembukaannya membolehkan penduduk menyeberangi kedua-dua negara dengan mudah tanpa menunggu feri.
Dr. Suffian Mansor ialah Pengerusi Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia.