
BINTULU: Penyerahan kuasa kawal selia Pelabuhan Bintulu kepada kerajaan Sarawak disifatkan sebagai antara pencapaian paling signifikan dalam pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), sekali gus mencerminkan semangat kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sarawak.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berkata, penyelesaian terhadap tuntutan yang telah diperjuangkan dan dirundingkan merentasi beberapa pentadbiran itu akhirnya berjaya dimuktamadkan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya, langkah berkenaan bukan sahaja mengiktiraf hak dan kedudukan Sarawak sebagai rakan pengasas Malaysia, malah membuktikan bahawa pelaksanaan MA63 mampu direalisasikan melalui pendekatan yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.
“Penyerahan kuasa kawal selia Pelabuhan Bintulu kepada Sarawak adalah situasi ‘menang-menang’ kepada kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan.
“Sarawak memperoleh peranan yang lebih besar dalam pengurusan aset strategiknya, manakala Malaysia pula mendapat manfaat daripada pembangunan hab logistik, perindustrian dan tenaga hijau bertaraf dunia yang mampu memacu pertumbuhan ekonomi negara pada masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, komitmen Kerajaan MADANI terhadap pelaksanaan MA63 diterjemahkan melalui tindakan perundangan termasuk kelulusan Rang Undang-Undang Lembaga Pelabuhan Bintulu (Pindaan) 2024 dan Rang Undang-Undang Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) 2024 oleh Dewan Rakyat pada Julai 2024.
Menurutnya, pelaksanaan pindaan tersebut membuka lembaran baharu dalam hubungan Persekutuan dan Sarawak dengan memberikan peranan yang lebih besar kepada negeri itu dalam pengurusan aset strategik.
Mengulas mengenai masa depan Pelabuhan Bintulu, beliau berkata pelabuhan berkenaan kini bukan sekadar hab eksport gas asli cecair (LNG) terbesar negara, malah sedang berkembang sebagai pusat logistik, perindustrian dan tenaga hijau yang berpotensi memainkan peranan penting dalam landskap ekonomi Malaysia serta rantau Asia Pasifik.
Katanya, usaha pemodenan yang sedang dilaksanakan merangkumi pendigitalan sistem operasi, penggunaan teknologi automasi serta peningkatan kecekapan pengurusan pelabuhan bagi memastikan daya saingnya terus kekal kukuh dalam menghadapi perubahan ekonomi global.
Pada masa sama, inisiatif tersebut turut menyokong aspirasi negara untuk mencapai sasaran pelepasan karbon sifar bersih menjelang tahun 2050 menerusi amalan operasi yang lebih mampan dan mesra alam.
Beliau turut menegaskan bahawa kedudukan strategik Bintulu serta kelebihan Sarawak yang memiliki sumber tenaga boleh diperbaharui, khususnya hidroelektrik berskala besar, menjadikan negeri ini semakin menarik kepada pelabur antarabangsa yang sedang beralih kepada operasi rendah karbon.
“Perkembangan ini berpotensi menjadikan Sarawak sebagai hab utama industri hijau, tenaga bersih dan pembuatan bernilai tinggi di rantau ini,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan pelaksanaan MA63 tidak seharusnya dilihat sebagai kehilangan kuasa oleh Kerajaan Persekutuan, sebaliknya sebagai usaha mengukuhkan Persekutuan Malaysia melalui pengiktirafan terhadap hak, peranan dan potensi sebenar Sabah dan Sarawak sebagai rakan pengasas negara.
Beliau berkata Kerajaan MADANI akan terus bekerjasama rapat dengan kerajaan Sarawak yang diterajui Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, bagi memastikan setiap kejayaan pembangunan dapat diterjemahkan kepada manfaat langsung kepada rakyat melalui peluang pekerjaan, peningkatan pelaburan, pembangunan infrastruktur moden serta pertumbuhan ekonomi yang mampan.
Oleh Faizah Muzidi