KALAU hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Demikian bunyi peribahasa lama yang membawa maksud jika kita hendak melakukan sesuatu, kita akan menyempurnakannya dengan sedaya upaya kita dan andai sebaliknya, pelbagai alasan akan diberikan. Sikap sedemikian berupa sebahagian daripada ‘pembawaan’ yang ditampilkan kebanyakan, malah keseluruhan, dalam kalangan manusia. Sikap yang secara tidak langsung menyerlahkan sifat mementingkan diri yang tidak dapat dikikis, selagi bergelar manusia.
Tidak mengira sama ada apa-apa yang dikehendaki itu bersifat positif mahupun negatif, seluruh keupayaan akan ditumpukan kepada usaha pencapaiannya atau pemilikannya. Namun, sekiranya tidak memenuhi kehendak atau yang bukan diingini, pelbagai alasan akan diberikan sebagai unsur eskapisme. Sikap yang sedemikian ada pro dan kontranya. Dalam konteks pengilmuan misalnya, usaha ke arah keinginan mengecapi kejayaan berupa sikap yang wajar diterapkan. Pun demikian halnya dalam ranah pekerjaan. Namun demikian, perlu diwajarkan kaedah pemerolehannya. Bukan lewat kaedah sama ada penipuan seperti meniru dan sebagainya, mahupun lewat kaedah pelobian serta politik yang kurang sihat, akan tetapi berusaha dengan membuat rujukan atau kajian mendalam serta menunjukkan prestasi kerja yang cemerlang di samping sikap kebertanggungjawaban serta integriti yang tinggi.
Secara holistiknya, pemenuhan kehendak seseorang tiada batasannya. Kehendak yang menerbitkan rangsangan yang luar biasa, sehingga sanggup melakukan tindakan yang lari daripada kemurnian nilai norma kehidupan. Sebagai contoh, kehendak untuk memperoleh keuntungan yang berlipat ganda dalam perniagaan, mampu mendorong seseorang untuk melakukan penipuan dari segi timbangan dan sukatan. Malah, dalam situasi tertentu melakukan pencatutan harga. Amalan yang sememangnya mendatangkan keuntungan kepada peniaga khususnya, akan tetapi menimbulkan ‘kesengsaraan’ kepada pembeli dan pengguna. Wajarkah amalan sedemikian dibudayakan? Jawapannya sudah pasti tidak.
Melihat dari situasi sebegini, hal yang ‘menyerap’ dalam pemikiran penulis adalah, kecetekan pemikiran untuk membuat pemisahan dari segi pengertian aspek kehendak dan keperluan. Hal yang, sama ada sering disalahmengertikan, mahupun sengaja tidak ingin dimengertikan. Lantaran, kehendak dan keperluan dirangkum dalam persempadanan wilayah yang sama. Dalam erti kata yang lain, kehendak dan keperluan ditafsirkan sebagai membawa maksud yang sama. Kehendak itu keperluan, dan keperluan itu kehendak. Dua konsep yang jelas berbeza akan tetapi ‘sengaja’ ditafsirkan sebagai membawa maksud yang sama.
Apakah yang dimaksudkan dengan ‘kehendak’ dan apa pulakah yang dimaksudkan dengan ‘keperluan’? Kata kehendak, terbit daripada kata akar ‘hendak’ atau ‘hendakkan’ yang menurut Kamus Dewan edisi keempat, ditafsirkan sebagai ‘berhasrat akan, ingin akan (mempunyai, mendapat, mengambil dan lain-lain); akan, bermaksud akan, mahu; dan akan. Dalam onteks makalah ini maksud terdahulu lebih persis. Manakala perkataan ‘keperluan’ terbit daripada kata ‘perlu’ yang ditakrifkan sebagai, pertamanya, keharusan (yang tidak dapat dielakkan), kemestian; keduanya, ‘menjadi kemestian 9untuk mendapatkan sesuatu), harus, terpaksa; manakala maksud ketiganya adalah ‘harus ada (diperoleh), berguna, mustahak, penting; sementara takrif keempatnya adalah ‘sangat menghendaki (akan), berhajat (akan)’. Takrifan kelimanya adalah ‘sesuatu yang dikehendaki (dipentingkan), hajat, kepentingan; dan takrif keenam pula adalah ‘untuk, bagi, buat, guna’.
Andai dilihat seimbas lalu, sememangnya antara tafsiran yang terakam, terdapat kesamaan dalam konteks penggunaan tertentu. Namun, melihat dari segi wajaran dengan menumpukan laras pandangan terhadap unsur ‘keharusan’, terdapat persempadanan yang agak jelas. Apabila seseorang berkehendakkan sesuatu, tidak bermakna bahawa apa-apa yang dikehendaki atau diinginkan berkenaan berupa sesuatu yang menjadi kemestian atau dengan kata lain, tidak boleh tidak dimiliki. Sebagai contoh, keinginan memiliki sebuah kereta mewah bukan berupa keperluan yang mendesak. Tanpa kereta berkenaan, tidak bermakna kegiatan dalam kehidupan akan terhenati. Pemilikannya bergantung pada kemampuan kewangan.
Berbeza dengan keperluan untuk makan dan minum, hal sedemikian berupa tuntutan yang peru ditunaikan bagi meneruskan kelangsungan kehidupan, atau dalam erti kata lain, makan atau minum untuk hidup dan bukan hidup untuk makan. Kenyataan yang sering didengari. Demikian juga halnya dengan keperluan untuk bekerja demi memperoleh pendapatan demi kelangsungan hidup. Pendapatan yang diperoleh digunakan untuk membeli makanan, membayar perkhidmatan yang diberikan dan seumpamanya. Sama ada pendapatan itu mencukupi atau tidak, hal sedemikian itu bergantung pula pada tanggungan atau cara hidup. Pada kelazimannya, sekiranya pendapatn berkenaan tidak mencukupi, hal berkenaan akan menerbitkan keinginan untuk mendapatkan pendapatan yang lebih. Dalam situasi sebegini, kaedah untuk mendapatkannya terserah pada pilihan yang dibuat, sama ada secara sah atau sebaliknya. Cara yang sah seperti mendapatkan pekerjaan sampingan seperti berniaga pada sebelah malamnya, ataupun melakukan salah laku seperti menyamun atau merompak, yang jelas berupa perbuatan jenayah yang tidak dianjurkan.
Perlu juga diambil perhatian bahawa dalam situasi tertentu, untuk memenuhi keperluan, memerlukan keinginan ditunaikan. Misalnya keinginan untuk memiliki sebuah rumah, berupa keperluan untuk menjadi tempat perteduhan atau kediaman bagi diri dan tanggungan. Hal yang sedemikian bergerak ‘selari’, dengan erti kata lain, kedua-duanya wajar dipenuhi. Namun penzahiran berkenaan, tidak seharusnya dijadikan sebagai alasan untuk memilih kaedah yang bertentangan dengan nilai murni kehidupan. Sebagai contoh, merasuah, menipu dan seumpamanya. Kaedah tidak seharusnya dijadikan sebagai unsur pewajaran untuk mencapai matlamat atau dalam bahasa Inggerisnya the ends justify the means.
Lantaran, perlunya dilakukan persempadanan antara kehendak dan keperluan. Hal ini dikatakan sedemikian kerana, dengan wujudnya persempadanan sedemikian, akan terbit kesedaran dalam pengawalan diri. Penentuan akan aspek kehendak dan keperluan mampu menentukan cara seseorang bertindak. Dalam konteks senario yang berlaku ketika ini, hal yang sedemikian kian jelas terpamer. Tuntutan-tuntutan yang diluahkan tidak lagi berdasarkan pelarasan pandangan kepada keperluan akan tetapi lebih dipengaruhi oleh desakan memenuhi agenda-agenda golongan atau kumpulan tertentu. Pemenuhan kehendak lewat ‘penyemarakan’ emosi yang dicetuskan melalui sogokan hasutan berdasarkan fakta yang diputarbelitkan.
Situasi yang dinyatakan amat ketara semasa masyarakat ‘terhimpit’ serta ‘terdesak’ akibat musibah pandemik Covid-19. Sebagai contoh, gesaan ‘keperluan’ menukar pucuk kepimpinan kerana gagal menangani situasi musibah yang ‘diturunkan’. Gesaan oleh pihak berkepentingan untuk semata-mata memenuhi ‘kehendak’ mereka berkuasa. Andai diteliti secara mendalam, gesaan sedemikian bukan berupa ‘keperluan’. Adakah dengan pertukaran pucuk kepimpinan berkenaan,musibah berkenaan akan lenyap? Adakah juga hal yang sedemikian itu berupa jaminan bahawa ‘keperluan’ untuk memenuhi tuntutan kehidupan akan berterusan? Soalan yang sememangnya memerlukan penelitian yang mendalam. Terpulang kepada diri masing-masing untuk menyantuni persoalan berkenaan lewat sisi pandangan yang berbeza. Namun hakikatnya, tidak wujud ‘keperluan’ yang mendesak dalam konteks berkenaan disebabkan tidak wujudnya unsur kepastian. Makan untuk hidup, memang jelas unsur kemestiannya, namun apa-apa yang diidamkan (diinginkan), tidak menjamin seseorang akan terus hidup.
Tuntasnya, dalam apa-apa tindakan, penaakulan mendalam akan aspek kehendak atau keinginan berbanding keperluan. Fikirkanlah sedalam-dalamnya.
Lindungi diri, lindungi bangsa, lindungi negara!