
Foto hiasan
PARIS: Gula-gula getah melepaskan ratusan cebisan plastik kecil dalam mulut individu, kata penyelidik memberi amaran tentang pencemaran yang dihasilkan oleh manisan berasaskan getah ini.
Kajian rintis berhubung isu ini dibuat apabila penyelidik semakin banyak menemui serpihan plastik kecil dikenali sebagai mikroplastik di seluruh dunia, dari puncak gunung hingga ke dasar lautan – malah dalam udara yang kita hirup.
Penyelidik juga menemui mikroplastik yang tersebar dalam tubuh manusia – termasuk paru-paru, darah, dan otak – menimbulkan kebimbangan mengenai kesannya terhadap kesihatan.
“Saya tidak mahu menakutkan orang,” kata Sanjay Mohanty, penyelidik utama di sebalik kajian baharu ini, kepada AFP.
Tiada bukti yang menunjukkan secara langsung bahawa mikroplastik berbahaya kepada kesihatan manusia, kata Mohanty dari Universiti California, Los Angeles (UCLA).
Kajian rintis terbaharu ini bertujuan untuk menggambarkan satu lagi cara yang kurang dikaji iaitu bagaimana cebisan plastik yang kebanyakannya tidak kelihatan ini masuk dalam tubuh manusia – melalui gula-gula getah.
Seorang pelajar ijazah Doktor Falsafah (PhD) di UCLA, Lisa Lowe, mengunyah tujuh keping setiap satu daripada 10 jenama gula-gula getah; kemudian penyelidik menjalankan analisis kimia terhadap air liurnya.
Penyelidik mendapati satu gram gula-gula getah (0.04 auns) melepaskan purata 100 serpihan mikroplastik, walaupun ada yang melepaskan lebih daripada 600.
Berat purata sebiji gula-gula getah adalah sekitar 1.5 gram
Individu yang mengunyah sekitar 180 keping gula-gula getah setiap tahun mungkin memakan kira-kira 30,000 mikroplastik, kata penyelidik.
Ia jauh lebih kecil berbanding pelbagai cara lain manusia menyerap mikroplastik, tegas Mohanty.
Sebagai contoh, penyelidik lain menganggarkan tahun lalu bahawa satu liter (34 auns cair) air dalam botol plastik mengandungi purata 240,000 mikroplastik. – AFP