
PUTRAJAYA: Bekas menteri dan ketua setiausaha (KSU) sebuah kementerian antara 12 individu telah memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penyelewengan pelaburan RM1.11 bilion.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata melalui siasatan terhadap dakwaan itu, pihaknya telah memanggil individu daripada beberapa agensi kerajaan serta mendapatkan beberapa dokumen berkaitan.
“Dokumen-dokumen penting telah kita dapati daripada agensi-agensi ataupun kementerian-kementerian yang berkaitan.
“Kita juga melihat kepada pembentangan Kertas Kabinet (dalam kes itu) dan saksi-saksi yang lain sedang kita panggil,” katanya dalam sidang media perkembangan siasatan kes SPRM di sini hari ini.
Azam berkata seorang individu yang kini berada di luar negara, dikategorikan sebagai dikehendaki dalam siasatan kes berkenaan.
“Kita telah keluarkan maklumat kepada media untuk beliau segerakan balik ke Malaysia untuk dirakam percakapan. Setakat ini, belum ada maklum balas daripada beliau,” katanya menambah individu itu kini dipercayai berada di United Kingdom.
Azam menyeru semua pihak bersabar menunggu hasil siasatan SPRM dan memberi jaminan setiap proses akan dijalankan secara telus dan adil.
Sebelum ini, SPRM mengesahkan menerima laporan berhubung dakwaan penyelewengan pelaburan RM1.11 bilion melibatkan bekas menteri kanan sebuah kementerian.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata SPRM akan meneliti keseluruhan laporan diterima bagi menentukan sama ada wujud sebarang elemen rasuah, penyelewengan atau salah guna kuasa di bawah Akta SPRM 2009.
Beliau berkata tindakan susulan termasuk meneliti dokumen dan bukti yang dikemukakan sebelum siasatan lanjut dijalankan seiring dengan komitmen terhadap integriti dan ketelusan dalam siasatan.- Bernama