

BINTULU: Pelaksanaan projek naik taraf sistem perparitan dan jalan raya di beberapa lokasi sekitar Tanjong Batu kini berjalan lebih lancar susulan tindakan penyelarasan melibatkan semua agensi berkaitan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming berkata, kerja menaik taraf perparitan di Jalan Sibiyu, khususnya di kawasan hadapan Taman Ing Ling, merupakan antara projek utama yang sedang diberi perhatian.
Menurutnya, projek tersebut melibatkan pembinaan lintasan saliran bertutup yang disambungkan terus ke Sungai Sibiyu, namun pelaksanaannya sebelum ini tertangguh berikutan isu utiliti yang memerlukan penyelarasan antara agensi.
“Bagi mengelakkan kelewatan berpanjangan, semua agensi terlibat telah dipanggil untuk berbincang secara bersemuka.
“Hasilnya, perkara berkenaan dapat diselesaikan dan kerja menurap semula jalan dijadualkan dilaksanakan sebelum sambutan Tahun Baharu Cina tahun ini,” katanya ketika ditemui media selepas mesyuarat bersama Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) dan kontraktor di Pusat Khidmat SUPP di sini, hari ini.
Johnny Pang turut memaklumkan bahawa satu lagi projek menaik taraf melibatkan Jalan Persekutuan Gunasama berhampiran Sekolah Kebangsaan Asyikirin, yang merangkumi kerja meninggikan paras jalan serta memperbesarkan sistem saliran sedia ada.
Menurut beliau, beberapa isu kecil yang timbul dalam pelaksanaan projek berkenaan berjaya ditangani selepas sesi perbincangan diadakan, sekali gus memperbaiki koordinasi antara agensi terlibat.
Dalam pada itu, beliau menekankan kepentingan perbincangan berterusan bersama agensi berkaitan sebelum sebarang projek baharu dimulakan bagi memastikan pelaksanaan berjalan lancar dan tidak menjejaskan penduduk setempat.
“Selain perbincangan bersama agensi, pandangan rakyat yang menggunakan jalan ini setiap hari juga perlu diberi perhatian kerana mereka yang merasai kesannya secara langsung,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa penduduk Gem Park telah mengemukakan cadangan penyelesaian jangka pendek, termasuk kerja-kerja pengorekan sungai, dan satu kertas cadangan akan dibawa untuk perbincangan lanjut bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (DID).
Johnny Pang turut menegaskan keperluan menaik taraf sistem perparitan secara menyeluruh dengan menggantikan parit tanah kepada parit konkrit, selain melaksanakan kerja-kerja melebarkan dan mendalamkan saliran selaras dengan perancangan pembangunan bandar di Bintulu.
Oleh Carolyne Utih