KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi jaminan akan mempertahan kepentingan rakyat terbanyak dalam pelaksanaan penyasaran subsidi, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan MADANI Ketiga 2025.
Beliau berkata setiap penyasaran adalah untuk membetulkan ketempangan amalan subsidi pukal yang memberi manfaat kepada kelompok elit maha kaya dan warga asing.
“Kenyataan yang tidak dapat dimungkiri adalah bahawasanya, warga asing dan 15 peratus teratas pengguna maha kaya menikmati 40 peratus subsidi petrol RON95 bernilai RM8 bilion.
“Seyogia diperingatkan bahawa dana RM8 bilion ringgit ini lebih baik dimanfaatkan bagi peningkatan kemudahan pendidikan, kesihatan serta pengangkutan awam,” katanya.
Justeru, Anwar yang juga Menteri Kewangan, berkata kerajaan komited mengekalkan subsidi untuk majoriti rakyat seperti dilaksanakan dalam penyasaran subsidi elektrik apabila 85 peratus rakyat tidak terkesan.
Bagi mengelakkan kekeliruan, beliau berkata tanggungan subsidi masih diteruskan untuk 85 peratus rakyat dengan kerajaan akan menanggung subsidi yang dianggar berjumlah RM12 bilion.
Anwar juga berkata kerajaan bercadang melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95 pada pertengahan 2025 dan penjimatan yang dicapai daripadanya akan dimanfaat untuk kesejahteraan rakyat terbanyak.
“Subsidi daripada segi prinsip sepertimana juga sedekah tidak sewajarnya diambil manfaat oleh golongan maha kaya dan selama ini, kita membelanjakan subsidi secara pukal untuk bahan api, elektrik, air, perkhidmatan pendidikan dan kesihatan hatta barangan asas seperti ayam.
“Pastinya pendekatan sedemikian tidak munasabah tatkala negara terhimpit dengan bebanan hutang dan asas hasil yang rendah,” katanya.
Mengenai penyasaran subsidi pendidikan, Perdana Menteri berkata jika ia dikurangkan secara berperingkat bagi kumpulan pendapatan 15 peratus teratas, kutipan yang diraih boleh dimanfaat untuk menambah baik prasarana sekolah berasrama penuh (SBP) dan institut pengajian tinggi awam (IPTA) yang turut memanfaatkan semua pelajar.
Anwar berkata matlamat asal penubuhan SBP ialah membantu murid cemerlang dan daripada keluarga susah serta pedalaman mendapatkan pendidikan terbaik namun berdasarkan angka terkini, didapati 30 peratus adalah daripada keluarga berpendapatan tinggi.
“Subsidi bagi seorang murid SBP mencecah RM15,000 setahun… begitu juga di peringkat pendidikan tinggi, umpamanya purata yuran pengajian setahun yang dibayar oleh penuntut sarjana muda farmasi ialah RM3,000 berbanding kos keseluruhan pengajian berjumlah RM30,000 dan subsidi ini diberikan tanpa mengambil kira pendapatan keluarga,” katanya.
Perdana Menteri berkata penyasaran subsidi seumpama itu akan turut melibatkan kesihatan awam kerana golongan berpendapatan tinggi wajar menyumbang kepada perkhidmatan yang lebih baik di hospital kerajaan.
Beliau berkata penjimatan yang diraih dapat dimanfaat untuk membiayai peranti perubatan untuk pesakit miskin serta menaik taraf peralatan hospital dan klinik awam,” katanya.
— BERNAMA