Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Penyasaran semula subsidi tidak jejas bekalan telur, kekal stabil dan mencukupi – Mohamad
  • SEMASA

Penyasaran semula subsidi tidak jejas bekalan telur, kekal stabil dan mencukupi – Mohamad

Utusan Sarawak 18 hours ago
GAMBAR hiasan, Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Bekalan telur ayam di pasaran kekal stabil dan mencukupi untuk memenuhi keperluan rakyat, walaupun kadar subsidi telah dikurangkan sebanyak lima sen sejak 1 Mei.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, situasi itu membuktikan langkah pengurangan subsidi tersebut tidak menjejaskan bekalan telur ayam.

“Malah menunjukkan keupayaan sistem pengeluaran tempatan yang semakin mampan dan berdaya tahan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan kawalan harga telur ayam akan ditamatkan, manakala kadar subsidi dikurangkan daripada 10 sen kepada lima sen sebiji berkuat kuasa 1 Mei 2025, sebelum dihentikan sepenuhnya pada 1 Ogos ini.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan memaklumkan keputusan itu dibuat selepas mengambil kira komitmen pihak industri untuk memastikan pengeluaran telur ayam kekal mencukupi dan terjamin.

Keputusan itu turut mengambil kira tempoh kawalan harga dan pemberian subsidi yang terlalu lama adalah tidak mampan bagi kelangsungan industri pengeluar telur tempatan dan kewangan negara.

Langkah penyasaran semula subsidi telur itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memastikan penggunaan dana subsidi yang lebih berkesan serta menggalakkan pengeluaran makanan tempatan yang mampan. – Bernama

Continue Reading

Previous: Agong berkenan Brisk Walk bersama warga Istana Negara, galakkan gaya hidup sihat
Next: Stesen Penyelidikan Bako perkukuh peranan Sarawak sebagai hab penyelidikan biodiversiti

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.