
ABUJA, Nigeria: Penyanyi berbakat dan bekas peserta program realiti The Voice Nigeria, Ifunanya Nwangene, 26 tahun meninggal dunia selepas dipatuk ular ketika sedang tidur di kediamannya di Abuja.
Menurut laporan BBC Africa, Nwangene, yang juga seorang arkitek, dikejutkan daripada tidur akibat patukan ular.
Beliau mendapatkan rawatan di sebuah klinik berhampiran, namun tiada bekalan antivenom sebelum dibawa ke Pusat Perubatan Persekutuan, yang mana beliau disahkan meninggal dunia pada Sabtu, 31 Januari.
Kematian penyanyi itu disahkan oleh pengarah muzik Sam C. Ezugwu dalam satu kenyataan di Facebook bagi pihak Amemuso Choir, kumpulan koir yang dianggotai Nwangene.
“Amemuso Choir dengan penuh dukacita mengumumkan pemergian mengejut soprano kesayangan kami,” menurut kenyataan itu.
BBC Africa turut melaporkan bahawa dua ekor ular ditemui di kediaman mangsa, manakala rakaman di media sosial menunjukkan seorang pengendali ular membawa keluar salah satu reptilia tersebut.
Nwangene mula dikenali ramai selepas berjaya memusingkan dua kerusi juri dalam musim ketiga The Voice Nigeria menerusi persembahan lagu “Take a Bow” nyanyian Rihanna.
Video uji bakatnya di YouTube mencatat lebih 80,000 tontonan.
Pada ketika kematiannya, beliau dilaporkan sedang merancang konsert solo pertamanya yang dijadualkan berlangsung pada 2026. Maklumat lanjut mengenai urusan pengebumian akan diumumkan melalui laman Facebook rasmi Amemuso Choir. – AGENSI