
HYDERABAD, India: Penyanyi latar Bollywood terkenal Asha Bhosle meninggal dunia pada usia 92 tahun.
Beliau menghembuskan nafas terakhir hari ini di sebuah hospital di Mumbai akibat kegagalan pelbagai organ, menurut laporan media tempatan.
Penyanyi itu dimasukkan ke Hospital Breach Candy pada Sabtu akibat jangkitan dada.
Upacara pengebumian beliau akan diadakan pada petang Isnin di Shivaji Park, kata anak lelakinya Anand Bhosle.
Orang ramai boleh memberi penghormatan terakhir kepada mendiang pada sebelah pagi di Casa Grande di kawasan Lower Parel, tempat beliau tinggal.
Bhosle dan kakaknya Lata Mangeshkar, yang meninggal dunia pada 2022 juga pada usia 92 tahun, menghiburkan peminat muzik Bollywood selama beberapa dekad.
Pasangan adik-beradik itu mempunyai gaya nyanyian berbeza, kedua-duanya menikmati populariti yang meluas.
Dilahirkan pada 8 September 1933, beliau telah merakamkan lebih 12,000 lagu, termasuk ribuan lagu dalam kira-kira 800 filem.
Bhosle diiktiraf oleh Rekod Dunia Guinness pada 2011 sebagai artis dengan jumlah rakaman studio terbanyak.
-Bernama