
FILIPINA: Penyanyi dan penulis lagu terkenal Filipina, Freddie Aguilar, yang dikenali menerusi lagu antarabangsa popular ‘Anak’, telah meninggal dunia di Manila pada usia 72 tahun pada Selasa, lapor media tempatan.
Beliau menerima rawatan di Philippine Heart Center, menurut hantaran di media sosial yang dimuat naik oleh isterinya, Jovie Albao-Aguilar.
Bekas pemuzik jalanan itu merupakan antara peneraju gerakan Muzik Asli Pilipino (Original Pilipino Music) yang muncul pada 1970-an, dan dikenali kerana aktivisme politiknya, sering menyuarakan isu-isu sosial melalui lagu.
Pada 1980-an, beliau menyumbangkan suaranya kepada Gerakan Kuasa Rakyat yang menumbangkan diktator ketika itu, Ferdinand Marcos, dengan nyanyiannya bagi balada patriotik tradisional ‘Bayan Ko’ (Negaraku) dijadikan sebagai lagu perjuangan.
Menurut profilnya di perkhidmatan muzik Spotify, beliau memulakan kerjayanya dalam industri muzik dengan mempersembahkan lagu-lagu saduran untuk anggota tentera Amerika Syarikat yang ditempatkan di negara kepulauan itu.
“Ini bukan selamat tinggal, hanya perpisahan buat sementara waktu,” tulis Albao-Aguilar di laman Facebooknya.
“Ia adalah perjuangan yang hebat kerana kita berjuang bersama-sama.”
Aguilar memeluk Islam pada 2013 ketika berusia 60 tahun bagi membolehkan beliau berkahwin dengan Albao-Aguilar, yang ketika itu baru berusia 16 tahun, mengikut Kod Keluarga Islam negara itu.
Dalam satu resolusi khas pada 2018, Senat Filipina memuji beliau atas “sumbangan cemerlang sepanjang hayat kepada seni dan budaya Filipina.”
Menurut resolusi tersebut, beliau merupakan “satu-satunya penyanyi dan pencipta lagu yang berjaya menembusi pasaran Barat dan meraih pengiktirafan global yang luas, sekali gus membawa kebanggaan dan kehormatan kepada negara kita.”
Lagu ‘Anak’, sebuah lagu dalam bahasa Tagalog yang mengisahkan tentang cabaran membesarkan anak yang bermasalah, telah terjual lebih daripada 30 juta salinan. – AFP