
GUADALAJARA, Mexico: Seorang pemuzik terkenal Mexico yang sering memuji ketua-ketua kartel dadah telah ditembak mati di sebuah kawasan parkir di barat negara itu, menurut kenyataan polis kelmarin.
Mangsa, Ernesto Barajas, penyanyi utama kumpulan Enigma Norteño yang mempunyai lebih empat juta pendengar bulanan di Spotify, maut ditembak di Bandar Zapopan, Jalisco.
Beliau merupakan antara beberapa artis genre ‘narcocorridos’, iaitu sub-genre muzik serantau yang kontroversi kerana memaparkan kisah serta memuliakan kegiatan kartel dadah, yang telah dibunuh dalam beberapa bulan kebelakangan ini.
Pada Mei lalu, lima ahli kumpulan Fugitivo turut dibunuh oleh individu yang dipercayai pengedar dadah di negeri Tamaulipas.
Menurut polis Zapopan, dua lelaki menaiki motosikal menghampiri Barajas di kawasan parkir sebelum melepaskan tembakan ke arahnya.
Seorang lagi lelaki turut maut dalam serangan tersebut, manakala seorang wanita cedera di bahagian kaki, menurut pihak berkuasa.
Repertoar kumpulan Enigma Norteño merangkumi sebuah lagu yang didedikasikan kepada Nemesio Oseguera, ketua Kartel Generasi Baharu Jalisco (CJNG), salah satu organisasi pengedaran dadah terbesar di Mexico.
Kumpulan itu turut mempunyai lagu berjudul ‘Los Chapitos’, yang merujuk kepada anak-anak lelaki ketua kartel dadah terkenal, Joaquin ‘El Chapo’ Guzmán, yang kini menjalani hukuman penjara seumur hidup di Amerika Syarikat.
Di Mexico, kumpulan jenayah sering membayar pemuzik untuk menggubah dan mempersembahkan lagu-lagu yang memuliakan kegiatan mereka.
Namun, penyanyi ini kadangkala terperangkap dalam konflik antara kartel yang bersaing merebut kawasan pengaruh.
Media tempatan melaporkan bahawa Barajas pernah menerima ancaman daripada CJNG sebelum ini.
Beberapa wilayah di Mexico telah mengharamkan lagu-lagu narcocorridos, dan penguatkuasaan larangan itu pernah mencetuskan rusuhan dalam sebuah konsert pada April lalu apabila seorang penyanyi enggan menyanyikan beberapa lagu popularnya. – AFP