
LONDON: Penyanyi Ireland yang sedang melonjak naik, CMAT, telah membatalkan tarikh jelajahnya di UK bagi mendapatkan rawatan untuk jangkitan pada gigi bongsu hanya beberapa hari selepas penyanyi pop Britain, Lola Young, menghentikan persembahan selepas rebah di atas pentas.
“Saya amat sedih untuk memaklumkan bahawa disebabkan jangkitan pada gigi bongsu, saya perlu menjadualkan semula semua tarikh jelajah UK saya pada bulan Oktober,” kata CMAT, atau nama sebenarnya Ciara Mary Alice Thompson, dalam satu hantaran di Instagram lewat malam Rabu.
Artis berusia 29 tahun itu dijadualkan membuat persembahan di London, Manchester, Leeds, Newcastle dan Glasgow, susulan pelancaran album ketiganya, Euro-Country, yang menampilkan bahasa Ireland serta lirik bersifat sinis dan menghiburkan.
“Saya kini tak dapat buka mulut luas untuk ketawa, apatah lagi untuk menyanyi,” katanya sambil berkongsi gambar pipinya yang bengkak.
“Saya sedang menahan kesakitan yang begitu teruk sehingga hampir tak mampu berfikir dengan jelas untuk menaip.”
Pemegang tiket layak menuntut tarikh baharu atau bayaran balik, kata penyanyi kelahiran Dublin itu, yang dijadual memulakan jelajah Eropah tahun hadapan sebelum membuat persembahan di festival muzik Coachella di California.
Pengumuman itu dibuat ketika rakan seangkatannya, Lola Young, 24, memaklumkan pada Selasa bahawa dia akan “mengundur diri buat sementara waktu” dan membatalkan beberapa persembahan selepas rebah ketika konsert di New York.
Tahun lalu, Young meraih single nombor satunya yang pertama menerusi lagu Messy, yang tular di TikTok. – AFP