PETRA JAYA: Jumlah penglibatan dalam penyalahgunaan dadah dan bahan di Sarawak menunjukkan trend penurunan pada 2026 apabila merekodkan 8,926 individu berbanding 12,590 individu pada tahun sebelumnya.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato’ Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, perkembangan itu merupakan petanda positif terhadap keberkesanan strategi intervensi yang dilaksanakan bagi menangani masalah penyalahgunaan dadah di negeri ini.
Beliau yang juga Pengerusi Persatuan Mencegah Dadah (PEMADAM) berkata, Sarawak tidak boleh berasa selesa kerana ancaman dadah sintetik atau Amphetamine-Type Stimulants (ATS) masih mendominasi profil penyalahgunaan dadah di negeri ini.
“Secara menyeluruh, kita masih rasa bangga kerana masalah dadah di Sarawak, jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain di Malaysia, masih berada pada tahap yang tidak begitu membimbangkan.
“Bagaimanapun, kita mesti sentiasa berwaspada kerana masalah dadah ini seperti api. Kalau tidak ditangani dari awal, ia akan terus membara,” katanya ketika ditemui media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) Peringkat Negeri Sarawak Bilangan 1 Tahun 2026 di Dewan Undangan Negeri, hari ini.
Berdasarkan statistik Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), daripada 8,926 individu yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah dan bahan pada 2026, seramai 8,301 atau 93 peratus merupakan lelaki, manakala 625 atau tujuh peratus ialah wanita.
Kadar kepadatan penyalahgunaan dadah di Sarawak pula direkodkan sebanyak 353 individu bagi setiap 100,000 penduduk, masih di bawah purata kebangsaan.
Lebih 96 peratus daripada keseluruhan profil penyalahgunaan dadah di Sarawak pula membabitkan ATS, dengan 8,607 individu atau 96.4 peratus dikenal pasti menggunakan bahan berkenaan.
Daripada jumlah itu, golongan berusia 15 hingga 30 tahun merupakan kumpulan paling ramai terlibat, iaitu seramai 6,550 orang atau 95.8 peratus.
Keadaan itu menunjukkan golongan muda masih menjadi kumpulan paling terdedah kepada ancaman penyalahgunaan dadah sintetik di Sarawak, sekali gus memerlukan usaha pencegahan yang lebih agresif dan berterusan.
Selain ATS, statistik turut merekodkan 177 pengguna bahan lain, termasuk ketum, kokain, halusinogen dan inhalan.
Pengguna dadah jenis ganja, termasuk hashish dan marijuana, pula seramai 94 pengguna, manakala pil psikotropik seperti benzodiazepine, nimetazepam, diazepam dan midazolam mencatatkan 46 pengguna.
Sementara itu, seramai dua individu dikenal pasti menggunakan dadah jenis opiat seperti heroin, morfin dan candu.
Abdul Karim berkata, trend penurunan keseluruhan itu merupakan perkembangan positif, namun tidak bermakna Sarawak boleh mengurangkan tahap kesiapsiagaan dalam membanteras penyalahgunaan dadah.
Katanya, perubahan corak penyalahgunaan dadah turut menyaksikan kemunculan bahan psikoaktif baharu atau New Psychoactive Substances (NPS), termasuk bahan yang disamarkan dalam bentuk cecair dan peranti vape.
“Walaupun kita melihat trend penurunan, kita tidak boleh mengambil mudah. Ancaman dadah sentiasa berubah dan kita perlu bergerak lebih pantas daripada perubahan tersebut,” katanya.
Beliau berkata, usaha menangani masalah berkenaan tidak boleh diletakkan hanya di bahu AADK atau agensi penguat kuasa, sebaliknya memerlukan kerjasama menyeluruh yang membabitkan jabatan kerajaan, pihak swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), keluarga dan masyarakat.
Menurutnya, pendekatan pencegahan juga perlu diberi perhatian khusus kepada golongan belia memandangkan sebahagian besar profil penyalahgunaan dadah di Sarawak membabitkan mereka yang berusia antara 15 hingga 30 tahun.
Dalam masa sama, beliau berkata, pindaan Akta Penagih dan Penyalah Guna Dadah dan Bahan 1983 (Akta 283) mencerminkan perubahan pendekatan kerajaan dalam menangani isu berkenaan.
Katanya, pendekatan baharu itu memberi penekanan lebih besar kepada aspek pemulihan yang progresif dan berperikemanusiaan dalam membantu penyalah guna dadah kembali membina kehidupan serta menyumbang kepada masyarakat.
Abdul Karim berkata, kerajaan negeri juga akan terus memperkukuh kerjasama dengan semua agensi berkaitan bagi memastikan usaha pencegahan, penguatkuasaan, rawatan dan pemulihan dapat dilaksanakan secara bersepadu.
“Kalau kita lihat masalah dadah sebagai masalah sosial, semua pihak mempunyai peranan. Kita mahu memastikan generasi muda kita tidak terjebak dan mereka yang terlibat pula diberi peluang untuk pulih,” katanya.
Sarawak akan terus menyokong matlamat Dadah Terkawal 2030 dengan memperkukuh pendekatan yang bukan sahaja menumpukan kepada usaha membanteras bekalan, tetapi turut mengurangkan permintaan terhadap dadah.
Bagi Sarawak, penurunan daripada 12,590 individu pada 2025 kepada 8,926 individu pada 2026 memberikan isyarat positif. Namun, dominasi ATS dalam kalangan pengguna, khususnya golongan muda, menunjukkan perjuangan membanteras dadah masih jauh daripada selesai.
Oleh Afiq Sallehi




