
ENGKILILI: Program Penyalaan Lampu Engkilili sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2026 anjuran Majlis Daerah Lubok Antu (MDLA) malam tadi berjaya menceriakan suasana sekitar Pasar Engkilili dengan pemasangan hiasan lampu berkonsepkan perayaan yang menarik dan berwarna-warni.
Menurut kenyataan media MDLA, program berkenaan diadakan sebagai usaha menyemarakkan sambutan perayaan selain mewujudkan suasana yang meriah dan kondusif kepada penduduk tempatan serta para pengunjung.
Majlis perasmian program tersebut telah disempurnakan oleh Ahli Parlimen Lubok Antu, Roy Angau Gingkoi, yang menyatakan penghargaan terhadap inisiatif MDLA dalam menganjurkan program berteraskan perpaduan dan keharmonian masyarakat.
Beliau berkata, penganjuran program seumpama ini bukan sahaja mencantikkan landskap bandar, malah mampu mengeratkan hubungan antara masyarakat berbilang kaum khususnya di Daerah Lubok Antu.
Program Penyalaan Lampu Engkilili turut dimeriahkan dengan pengagihan limau mandarin oleh tetamu kehormat kepada orang ramai sebagai simbol kemakmuran dan kesejahteraan bersempena sambutan Tahun Baharu Cina.
Selain itu, persembahan tarian singa yang dipersembahkan berjaya menarik perhatian pengunjung dan menambahkan lagi kemeriahan suasana, sekali gus mencerminkan keunikan budaya masyarakat setempat.
MDLA dalam kenyataannya memaklumkan bahawa program ini bertujuan memupuk semangat perpaduan, toleransi dan keharmonian dalam kalangan masyarakat tanpa mengira latar belakang kaum dan agama.
Kehadiran penduduk tempatan yang memberangsangkan serta kunjungan orang ramai dari kawasan sekitar membuktikan sokongan padu komuniti terhadap inisiatif yang berteraskan kebersamaan dan keharmonian sosial.
Antara kenamaan yang turut hadir ialah Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Kua Jack Seng yang mewakili Timbalan Premier Sarawak yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian.
Turut hadir Pegawai Daerah Lubok Antu yang juga Pengerusi MDLA, Akoi Ejau, Setiausaha MDLA, Ting Tiew Lik, Ketua Polis Daerah Lubok Antu, DSP Prica Azin, ahli-ahli majlis MDLA serta Ketua Kaum dan Ketua Masyarakat (KMKK) kawasan Engkilili.
MDLA berharap Program Penyalaan Lampu Engkilili dapat diteruskan sebagai inisiatif tahunan yang bukan sahaja menceriakan persekitaran bandar, malah terus mengukuhkan hubungan silaturahim serta keharmonian dalam kalangan komuniti setempat di daerah ini.
Oleh Adi Safarman