Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KESIHATAN
  • Penyakit kardiovaskular ancaman serius, SMC sertai Hari Jantung Sedunia
  • KESIHATAN

Penyakit kardiovaskular ancaman serius, SMC sertai Hari Jantung Sedunia

Utusan Sarawak 3 hours ago
PENYAKIT kardiovaskular kekal sebagai ancaman kesihatan utama di Malaysia.


KUALA LUMPUR: Penyakit kardiovaskular kekal sebagai ancaman kesihatan utama di Malaysia dengan kadar kematian global mencecah 32 peratus, namun kesedaran masyarakat terhadap bahaya penyakit itu masih lagi pada tahap yang membimbangkan.

Sehubungan dengan itu, Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway (SMC) mengambil inisiatif menganjurkan acara kesedaran sempena Hari Jantung Sedunia 2025 yang mengetengahkan kepentingan pencegahan melalui perkongsian pakar dan demonstrasi praktikal.

Acara yang berlangsung di Pusat Konvensyen SMC pada 27 Sept lepas itu berjaya menghimpunkan kira-kira 500 pengunjung.

SMC dalam kenyataan memaklumkan sifat penyakit kardiovaskular yang senyap menyebabkan banyak tidak menyedarinya meskipun ia dikenal pasti sebagai punca kematian utama di dunia merangkumi kira-kira 32 peratus kematian global. 

“Banyak tidak menyedari masalah jantung yang dihidapi sehingga ia mencapai tahap serius, sekali gus menekankan kepentingan saringan berkala dalam meningkatkan keselamatan pesakit dan mengurangkan risiko komplikasi,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Pengarah Kanan Pembangunan Perniagaan dan Komunikasi Korporat SMC Tan Mei Shin berkata Hari Jantung Sedunia mengingatkan orang ramai mengenai kepentingan pengesanan awal dan pilihan gaya hidup harian. 

“Kami berharap peserta pulang dengan semangat menjaga kesihatan jantung, mengamalkan tip yang dikongsi serta menyebarkannya kepada keluarga dan rakan agar bersama menyelamatkan nyawa dan memperkasakan komuniti kita,” katanya.

Program berkenaan menampilkan perkongsian oleh Pakar Perubatan Kardiologi Dr Richard Chan Tze Ming dan Pakar Perubatan Kardiologi dan Elektrofisiologi Dr Gary Lee Chin Keong yang berkongsi tip penjagaan jantung termasuk kepentingan memantau tekanan darah, paras kolesterol dan kadar denyutan nadi selain mengenal pasti gejala awal.

“Mereka menekankan bahawa pemeriksaan berkala, pemakanan sihat dan rawatan tepat pada masanya mampu memberi impak besar terhadap kesihatan jantung,” menurut SMC.  

Selain itu, para peserta program berpeluang mengikuti bengkel penggunaan Defibrilator Luaran Automatik (AED) yang memberikan pendedahan praktikal dalam mengesan serangan jantung dan memberikan penjagaan yang boleh menyelamatkan nyawa.

SMC memaklumkan program kesedaran itu turut merangkumi pemeriksaan kesihatan sebagai sebahagian daripada inisiatif pendidikan awam dan mendekati komuniti untuk menggalakkan kesedaran terhadap kesihatan jantung secara proaktif.

Teknologi moden turut diketengahkan apabila Samsung Malaysia Electronics menampilkan peranti boleh pakai yang memantau kesihatan jantung secara masa nyata, menarik minat ramai kerana fungsinya membantu pemantauan harian dan pengurusan gaya hidup.

SMC telah diiktiraf antara 250 hospital terbaik dunia dalam Newsweek’s World’s Best Hospitals bagi 2024 dan 2025 selain tersenarai antara 75 hospital teratas dalam bidang pembedahan kardiak melalui Newsweek’s Best Specialized Hospitals Asia Pacific.

Bidang kardiologi pula menerima pengiktirafan yang sama selama tiga tahun berturut-turut sejak 2023. Pencapaian itu menyerlahkan kecemerlangan berterusan SMC dalam penjagaan kardiovaskular khusus, seiring dengan fokus terhadap keselamatan dan kepuasan pesakit.

“Dengan 80 kepakaran perubatan merangkumi 28 Pusat Kecemerlangan dan 810 katil berlesen, SMS ini bakal berkembang kepada lebih 1,100 katil setelah siap blok keenam, Menara F (Pavilion Kanak-Kanak),” menurut kenyataan itu.- Bernama

Continue Reading

Previous: KKM lancar sistem P3S untuk kurangkan birokrasi penempatan
Next: Kanser payudara meningkat ketara sejak 2007, lebih 50 peratus lewat dikesan – Dzulkefly

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.