
BETONG: Karnival Berbasikal Layar edisi ke-7 bakal berlangsung meriah bermula Khamis hingga Ahad ini di RTC Layar, di sini.
Demi memastikan kelancaran acara serta keselamatan semua pihak, beberapa jalan utama akan ditutup sementara pada hari perlumbaan utama, iaitu pada Ahad ini.
Ketua Polis Daerah Betong, DSP Rejali Angong berkata, penutupan jalan akan membabitkan sebahagian laluan Lebuh Raya Pan Borneo pada hari Ahad bermula 8.00 pagi hingga 9.30 pagi.
Antara laluan yang terlibat adalah KM369.3 hingga KM349.3 (menghala ke arah Kuching) dari kawasan Simpang Ulu Layar ke pusingan P Skrang.
Selain itu, KM349.3 hingga KM380.6 (menghala ke Sarikei) dari kawasan pusingan P Skrang ke pusingan P Matop, dan KM380.6 hingga KM377.5 (menghala ke Kuching) dari kawasan pusingan P Matop ke Simpang Bukit Saban.
Rejali menegaskan, langkah ini perlu bagi memberi ruang yang selamat kepada peserta perlumbaan selain memastikan kelancaran lalu lintas di kawasan sekitar.
“Penutupan ini hanya sementara. Kami memohon kerjasama masyarakat untuk memberi laluan demi menjayakan acara sukan berprestij ini.
“Orang ramai dinasihatkan merancang perjalanan lebih awal untuk mengelakkan kesesakan serta sebarang kesulitan. Pihak polis akan sentiasa berada di lapangan bagi membantu melancarkan perjalanan trafik,” jelas beliau.
Sejak diperkenalkan tujuh tahun lalu, Karnival Berbasikal Layar terbukti menjadi pemangkin pelancongan sukan di Betong, sekali gus merancakkan ekonomi tempatan menerusi kehadiran pelumba, penyokong dan pelawat.
Oleh Adi Safarman