
PETRA JAYA: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) memaklumkan beberapa laluan utama di bandar raya ini akan ditutup secara berperingkat bermula hari ini sehingga 16 Ogos sempena Perarakan Jalanan Kuching 2025.
Bagi memastikan kelancaran acara, raptai akan diadakan bermula malam ini dengan penutupan Jalan Tun Abang Haji Openg dari 7.00 malam hingga selesai.
Pada 13 dan 14 Ogos, penutupan akan diperluaskan melibatkan Jalan Tun Abang Haji Openg, Jalan Main Bazaar, Jalan Wayang, Jalan Temple dan Jalan Tunku Abdul Rahman bermula jam 6.00 petang sehingga tamat raptai.
Acara kemuncak pada 16 Ogos (Sabtu) menyaksikan penutupan jalan bermula 4.00 petang hingga acara berakhir melibatkan laluan utama termasuk Bulatan Sri Aman, Jalan Abell Utara, Jalan Sungai Padungan, Jalan Song Thian Cheok, Jalan Borneo, Jalan Temple serta beberapa susur ke arah Jalan Tun Abang Haji Openg.
Sehubungan itu, DBKU menasihatkan orang ramai merancang perjalanan lebih awal dan menggunakan laluan alternatif bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.
DBKU turut mengalu-alukan kehadiran orang ramai untuk memeriahkan Perarakan Jalanan Kuching 2025 yang dijangka berlangsung meriah pada Sabtu ini.