
KUCHING: Orang awam dinasihatkan merancang perjalanan lebih awal berikutan beberapa penutupan jalan yang akan dilaksanakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) sempena raptai dan Perarakan Gawai Dayak 2025.
Menurut kenyataan rasmi, penutupan jalan akan dilakukan secara berperingkat pada Jumaat, 20 Jun dan Sabtu, 21 Jun ini, melibatkan beberapa laluan utama di pusat bandar Kuching.
Pada hari Jumaat, penutupan jalan bagi memberi laluan kepada raptai rasmi perarakan akan bermula dari 8.00 pagi hingga 12.00 tengah hari. Laluan yang terlibat termasuk Jalan Gambier, Jalan Power, Jalan Old Court House, Jalan Khoo Hun Yeang, Jalan Carpenter, Jalan Wawasan, dan Lebuh Wayang.
Pada hari Sabtu, Perarakan Gawai Dayak 2025 akan berlangsung dari 8.00 pagi hingga 6.00 petang, bermula di Bangunan Tun Jugah dan berakhir di Square Tower Waterfront melalui Jalan Tunku Abdul Rahman dan Jalan Main Bazaar.
Laluan yang akan ditutup semasa perarakan termasuk Jalan Padungan, Jalan Bukit Mata, Persimpangan lampu isyarat Jalan Abell – Jalan Petanak, Bulatan Sri Aman serta laluan masuk ke Jalan Abell dan Jalan Padungan.
PDRM memohon kerjasama orang ramai agar mematuhi arahan petugas keselamatan serta menggunakan laluan alternatif bagi mengelak kesesakan.
Orang ramai yang ingin menyaksikan perarakan disarankan hadir lebih awal untuk mendapatkan lokasi strategik serta memastikan kelancaran acara.
Perarakan Gawai Dayak merupakan acara tahunan yang meraikan warisan budaya masyarakat Dayak serta melambangkan perpaduan rakyat berbilang kaum di Sarawak.
Pengunjung berpeluang menikmati persembahan budaya dan kreativiti komuniti tempatan dalam suasana penuh warna-warni.
Oleh Clarissa Ima dan Shikin