
MIRI: Keadaan beberapa penutup longkang yang rosak di kaki lima premis kedai sekitar Taman Tunku di sini mengundang rasa tidak selesa dalam kalangan orang ramai apabila laluan yang sepatutnya selamat berubah menjadi berisiko, terutama kepada pejalan kaki.
Tinjauan Utusan Sarawak di beberapa lokasi mendapati terdapat penutup longkang yang retak, berlubang malah ada yang telah tertanggal sepenuhnya.
Situasi ini menjadi lebih merisaukan ketika waktu malam atau hujan kerana lubang yang tidak jelas kelihatan boleh menyebabkan orang ramai tersadung dan terjatuh.

Seorang peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Yong Siew Yii berkata, keadaan itu sudah berlarutan sekian lamun namun masih belum dibaiki.
“Ramai orang lalu-lalang di sini setiap hari, termasuk warga emas dan kanak-kanak. Kalau tak perasan, memang mudah terjatuh. Kami risau kalau ada yang cedera parah,” katanya.
Menurutnya, beberapa pelanggan turut mengadu rasa tidak selamat setiap kali melalui kawasan berkenaan, terutama ketika sibuk hujung minggu.

Penduduk setempat berharap pihak berkuasa tempatan dapat segera mengambil tindakan membaiki atau menggantikan penutup longkang yang rosak sebelum berlaku sebarang kejadian tidak diingini.
Mereka turut mencadangkan pemantauan berkala dilakukan bagi memastikan kemudahan awam sentiasa berada dalam keadaan baik demi keselamatan dan keselesaan semua pihak.
Oleh Liong Chai Ling