KUALA LUMPUR: Sekiranya penutup hidung dan mulut serta peralatan perlindungan diri (PPE) didagangkan sebagai komoditi, sudah tentu harga niaga hadapannya melonjak ketara memandangkan dunia dijangka mengalami wabak Covid-19 bagi tempoh sekurang-kurangnya sehingga 2021.
Produk lain yang laris ialah pensanitasi tangan, sehinggakan beberapa negara berusaha mengambil jalan singkat untuk mendapatkan barang-barang tersebut yang dikhususkan sebagai bantuan bagi negara lain.
Ini amat berbeza dari dua bulan lepas apabila emas dan minyak mentah dianggap sebagai pelaburan selamat, terutama ketika krisis ekonomi yang situasinya mengancam.
Dunia menyaksikan harga niaga hadapan West Texas Intermediate (WTI) Amerika Syarikat berada di paras negatif buat kali pertama sejak beberapa dekad, manakala minyak mentah Brent kekal di bawah US$30 setong.
Semua ini berikutan penyusutan permintaan global khususnya dari segi pengangkutan.
Susulan tercetusnya satu krisis kesihatan yang lantas menjadikan dunia tunggang-terbalik.
Ini turut menunjukkan sikap manusia sejak sekian lama memandang enteng banyak perkara termasuk kebersihan sehinggalah kemanusiaan.
Sementara itu paparan gambar-gambar mengenai udara bersih, persekitaran pulih daripada pencemaran dan haiwan tidak berasa terancam, mula menguasai media-media sosial dan sewajarnya ia begitu.
Adakah kita mempelajari sesuatu daripada krisis ini?
Hospital dan pusat kuarantin mempunyai cara khusus untuk melupuskan barang yang dianggap sebagai membahayakan bio.
Antara syarikat yang memperoleh tender dalam keadaan seperti ini ialah Radicare (M) Sdn Bhd, yang dilantik Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menguruskan sisa klinikal, perkhidmatan dobi dan linen serta perkhidmatan pembersihan di Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi, Nilai, Negeri Sembilan.
“Radicare bertanggungjawab menyediakan linen bersih yang mencukupi kepada pesakit di bawah pengawasan (PUS) dan pekerja perubatan, mengutip linen kotor, membekalkan barang guna habis dan penyangga bagi pengurusan sisa fasiliti kesihatan, menguruskan sisa klinikal, menjalankan kerja-kerja pembersihan terminal, kerja-kerja semburan disinfektan, serta kerja-kerja lain yang berkaitan,” menurut laman webnya.
Sebaliknya, peralatan perlindungan seperti penutup hidung dan mulut pakai buang dan bekas pensanitasi tangan yang digunakan oleh orang awam dilihat dibuang begitu sahaja di merata-rata.
Unit Landasan Lumayan Sdn Bhd, Gerbang Maritim Selangor (SMG), yang menjalankan operasi pembersihan Sungai Klang, menemui penutup hidung dan mulut, sarung tangan dan botol pensanitasi tangan di dalam sungai, menurut laporan baru-baru ini.
Mengikut laporan itu, Pengarah Urusan Landasan Lumayan, Syaiful Azmen Nordin, berkata walaupun SMG mendapati jumlah sampah yang dikeluarkan dari sungai itu telah berkurangan namun pihaknya menyedari wujudnya jenis sampah baharu itu.
Perlu disedari bahawa barang-barang seperti itu perlu dilupuskan secara bersih dan selamat, jika tidak ia boleh membahayakan pihak yang perlu menanganinya.
Malah lebih memburukkan jika sampah jenis ini mencetuskan satu bentuk krisis kesihatan lain.
Walaupun Perintah Kawalan Pergerakan telah dilonggarkan dan orang ramai mula kembali bekerja, tetapi perang ke atas Covid-19 masih belum berakhir.
KKM dari semasa ke semasa mengingatkan warga Malaysia mengenai norma baharu termasuk pemakaian penutup hidung dan mulut selain melakukan jarak sosial sepanjang masa.
Kejayaan dalam memerangi Covid-19 bergantung kepada masyarakat ketika pengamal perubatan terutama para doktor dan jururawat sentiasa bekerja tanpa mengenal erti lelah untuk mengekang wabak yang membawa maut ini.
Sikap tidak peduli pada peringkat ini bukan sekadar boleh meragut nyawa sendiri, malah membahayakan mereka yang berada di sekeliling. – Bernama