TERDEDAH… Sekitar 2.5 juta kanak-kanak di Amerika Latin dan Caribbean tidak diberi vaksin terhadap difteria, tetanus dan batuk kokol.• Foto AFP
PANAMA CITY: Satu daripada empat kanak-kanak di Amerika Latin dan Caribbean tidak mempunyai perlindungan vaksin terhadap tiga penyakit yang boleh membawa maut, kata laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu PBB pada Isnin lalu sekali gus memberi amaran tentang kadar vaksinasi yang menjunam.
Walaupun 90 peratus kanak-kanak di rantau ini pada 2015 telah menerima vaksin untuk difteria, tetanus dan batuk kokol (DTP3), menjelang 2020 liputan menurun kepada tiga per empat, menurut Dana Kanak-kanak PBB (UNICEF) dan Pertubuhan Kesihatan Pan American (PAHO), pejabat serantau Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).
Ini bermakna kira-kira 2.5 juta kanak-kanak tidak dilindungi sepenuhnya dan 1.5 juta daripada mereka tidak mendapat walaupun satu dos dalam rejimen tiga suntikan.
Di peringkat global, menurut WHO, 17.1 juta bayi tidak menerima dos awal vaksin DTP3 pada 2020 dan 5.6 juta lagi hanya disuntik sebahagiannya.
Wabak penyakit yang boleh dicegah sudah berlaku di Amerika Latin dan Caribbean, kata agensi itu.
Pada 2013, hanya lima orang di rantau ini dijangkiti difteria iaitu penyakit bakteria yang boleh menyebabkan kesukaran bernafas, kegagalan jantung dan berpotensi menyebabkan kematian. Lima tahun kemudian, bilangannya hampir 900.
Terdapat juga peningkatan kes campak, satu lagi penyakit yang boleh dicegah dengan vaksinasi daripada hampir 500 kes pada 2013 kepada lebih 23,000 pada 2019, kata kenyataan itu.
“Penurunan kadar vaksinasi di rantau ini membimbangkan,” kata Pengarah Wilayah UNICEF, Jean Gough sambil memberitahu alasannya berlipat kali ganda.
“Konteks di rantau ini telah berubah dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini.
“Kerajaan menumpukan perhatian mereka kepada isu kesihatan awam lain yang muncul seperti Zika, Chikungunya dan baru-baru ini Covid-19.
“Kewujudan populasi migran yang sukar dikesan dan tidak selalu mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan biasa, selain penduduk yang tinggal di kawasan terpencil atau sukar untuk dikunjungi, juga menghalang proses vaksinasi,” kata Pakar Neonatal UNICEF Ralph Midy.
Trend menurun bermula sebelum wabak Covid-19 yang memburukkan lagi keadaan dengan mengganggu perkhidmatan penjagaan kesihatan primer dan menyebabkan sesetengah orang mengelak daripada klinik dan hospital kerana takut terhadap virus.
“Apabila negara pulih daripada wabak itu, tindakan segera diperlukan untuk mencegah kadar perlindungan (vaksin) daripada terus menurun, kerana kemunculan semula wabak penyakit menimbulkan risiko serius kepada semua masyarakat,” kata Gough. -AFP