
KUALA LUMPUR: Keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menurunkan nisbah Keperluan Rizab Berkanun (SRR) sebanyak 100 mata asas (bps) kepada 1.00 peratus menunjukkan keyakinan dalam pasaran kewangan, menurut Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB).
Dalam nota penyelidikan, HLIB percaya langkah tersebut walaupun dilihat akomodatif, pada asasnya bertujuan mengekalkan daya saing pasaran kewangan Malaysia dalam trend pelonggaran dasar monetari di peringkat serantau.
“Daripada menunjukkan kebimbangan ekonomi yang memerlukan pelarasan dasar monetari, ia dijangka mencerminkan pendirian proaktif terhadap potensi risiko luaran.
“Dengan menggunakan penurunan SRR berbanding pengurangan Kadar Dasar Semalaman (OPR), BNM secara strategik mengelak tekanan langsung ke atas ringgit dan risiko berkaitan inflasi yang diimport,” katanya yang mengekalkan saranan “wajaran tinggi” ke atas sektor perbankan.
Menurut Kenanga Investment Bank Bhd, dengan menurunkan SRR, BNM boleh menambah mudah tunai bernilai kira-kira RM19 bilion dalam ekonomi.
Katanya deposit yang diletakkan oleh bank-bank dengan BNM untuk tujuan SRR tidak memberikan pulangan faedah dan RM19 bilion dalam bentuk mudah tunai, jika diandaikan dipinjamkan pada purata hasil sebanyak 5.06 peratus, akan meningkatkan margin faedah bersih bank pada anggaran 3 hingga 4 bps.
“Bagaimanapun, mudah tunai tambahan ini boleh memberi ruang yang lebih baik kepada strategi pembiayaan bank berikutan persaingan untuk deposit yang masih ada walaupun kini lebih tertumpu kepada deposit tetap jangka pendek.
“Kami juga tidak menjangkakan kebimbangan mengenai mudah tunai dalam masa terdekat berikutan bank-bank dilihat masih berhati-hati dalam meluluskan pinjaman berdasarkan keperluan untuk mengekalkan keuntungan dan kualiti aset pada tahap yang baik berbanding jumlah pinjaman dalam situasi ringgit yang kukuh,” katanya.
Sementara itu, BMI, syarikat Fitch Solutions menjangka BNM akan mengekalkan OPR pada 3.00 peratus sepanjang tahun ini berdasarkan penyata dasar terkini yang hampir sama dengan yang lepas, terutamanya berkaitan panduan ke hadapan.
“Pada mesyuaratnya pada 8 Mei, BNM mengekalkan kadar dasar semalaman pada 3.00 peratus pada mesyuarat ke-12 berturut-turut, sejajar dengan apa yang kami dan konsensus jangkakan,” katanya.
– Bernama