
KUCHING: Penurunan Kadar Dasar Semalaman (OPR) oleh Bank Negara Malaysia (BNM) kepada 2.75 peratus disifatkan sebagai langkah strategik dan pra-emptif bagi menyokong permintaan domestik di sebalik ketidaktentuan ekonomi global dan tempatan yang semakin ketara.
Penasihat Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sarawak (SHEDA), Sim Kiang Chiok berkata langkah ini dijangka membawa kelegaan kos sara hidup terutama kepada peminjam pinjaman perumahan, peribadi dan perniagaan apabila beban bayaran bulanan dapat diringankan, seterusnya membebaskan pendapatan boleh guna dalam situasi tekanan kewangan akibat pelaksanaan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) serta rasionalisasi subsidi.
“Namun, langkah ini datang dengan harga tertentu. Golongan penyimpan, khususnya pesara atau mereka yang bergantung kepada pendapatan faedah simpanan tetap dan akaun simpanan, bakal berdepan pulangan yang lebih rendah,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.
Beliau berkata walaupun ekonomi negara terus berkembang, laporan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) bagi suku pertama 2025 menunjukkan kelembapan ketara dalam sektor hartanah, dengan jumlah transaksi menurun sebanyak 6.2 peratus dan nilai transaksi merosot 8.9 peratus.
Tekanan luaran seperti kenaikan tarif eksport Malaysia ke Amerika Syarikat daripada 24 peratus kepada 25 peratus, penyusutan nilai ringgit, serta kos sara hidup yang meningkat akibat peluasan SST dan pelaksanaan subsidi bersasar RON95 pada suku keempat turut menjejaskan sentimen pasaran.
“Walaupun kadar faedah yang lebih rendah boleh merangsang minat membeli, cabaran kemampuan masih membataskan kesannya. Transaksi hartanah kediaman terus merosot dari segi jumlah dan nilai, mencerminkan landskap pembeli yang berhati-hati,” tambahnya.
Di Sarawak, beliau berkata pendapatan isi rumah yang lebih sederhana dan sensitiviti terhadap inflasi berkemungkinan mengekang manfaat penurunan kadar faedah.
Justeru, peningkatan ketara dalam pembelian rumah pertama tidak mungkin berlaku tanpa langkah sokongan tambahan seperti menghidupkan semula inisiatif Kerajaan Persekutuan ‘My First Home Deposit’ dan pengecualian duti setem untuk semua transaksi hartanah kediaman.
Beliau turut menjelaskan bahawa pembeli di Sarawak cenderung lebih berhati-hati dari segi kewangan dan sensitif terhadap harga, malah faktor kestabilan pendapatan, jaminan pekerjaan dan jangkaan inflasi lebih mempengaruhi keputusan pembelian berbanding perubahan kadar faedah.
“Sentimen pasaran pada awal 2025 bercampur-campur dan berhati-hati. Selepas tujuh suku pertumbuhan stabil, pasaran menyaksikan pembetulan pada suku pertama 2025 seperti ditunjukkan oleh penurunan dalam jumlah dan nilai transaksi,” ujarnya lagi.
Meskipun penurunan OPR memberi kelegaan psikologi dan kewangan jangka pendek, keyakinan pengguna masih terjejas oleh ketidaktentuan perdagangan global, kelemahan mata wang dan pembaharuan subsidi yang akan datang.
Tambahnya, pemaju tidak mungkin menurunkan harga secara ketara memandangkan kos input masih tinggi akibat peluasan SST, kos logistik dan pematuhan yang meningkat serta ketidaktentuan harga bahan import.
Sebaliknya, pemaju mungkin memperkenalkan pakej pembiayaan inovatif, bantuan bayaran pendahuluan atau skim penyerapan faedah bagi merangsang minat pembeli.
Beliau menjangkakan peralihan strategik ke arah unit yang lebih kecil dan kediaman mampu milik, sejajar dengan permintaan kukuh dalam segmen bawah RM300,000 yang mencatat lebih separuh daripada jualan kediaman pada suku pertama tahun ini.
“Namun, peningkatan berterusan dalam pengambilan pembeli akan bergantung kepada kestabilan makroekonomi dan insentif yang disasarkan,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa penurunan kadar faedah adalah isyarat sokongan yang dialu-alukan, namun tidak memadai untuk memulihkan kelembapan pasaran hartanah tanpa penyelesaian terhadap cabaran struktur seperti kekangan pendapatan dan kenaikan kos.