KUCHING: Kos pengeluaran hidrogen yang dijangka turun sehingga 50 peratus menjelang 2030, membuka peluang penggunaan hidrogen termasuk dalam sektor automotif.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata penurunan itu seiring dengan kemajuan teknologi dalam penghasilan tenaga hijau.
“Penurunan kos ini bakal membuka jalan kepada penggunaan hidrogen sebagai sumber tenaga utama, termasuk dalam sektor automotif, yang kini sedang meneroka inovasi baharu seperti mikro-elektrolisis dalam enjin kenderaan.
“Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) meramalkan bahawa kos hidrogen akan berkurangan sebanyak 50 peratus menjelang 2030. Malah, tokoh seperti Elon Musk juga sedang beralih daripada kenderaan elektrik (EV) kepada hidrogen dengan memperkenalkan teknologi mikro-elektrolisis dalam blok enjin.
“Di masa depan, kita mungkin tidak lagi bergantung kepada stesen minyak, tetapi menggunakan stesen air di mana air akan ditukar kepada hidrogen melalui proses elektrolisis,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan pada majlis menandatangani memorandum persefahaman antara anak syarikat Permodalan Satok Berhad iaitu Acacia Sdn Bhd dan syarikat teknologi tenaga lestari dari Itali Nextchem, di Pusat Acara Hikmah Exchange, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Abang Johari turut menekankan komitmen Sarawak untuk menyumbang kepada isu perubahan iklim global meskipun merupakan ekonomi kecil di Borneo.
“Sarawak melihat potensi besar dalam teknologi dan sumber asli seperti acacia dan napier grass yang boleh dijadikan bahan asas untuk pengeluaran biojisim. Ini juga merupakan langkah kita ke arah ekonomi kitaran,” ujarnya.
Beliau menjelaskan bahawa penanaman pokok acacia secara berperingkat dalam blok ladang mampu menjadi sumber biojisim yang mampan, manakala rumput napier yang boleh dituai setiap tiga bulan telah mula dieksport dalam bentuk pelet ke United Kingdom.
“Rumput yang dahulunya dianggap tidak bernilai kini mampu menjana pendapatan kerana ia boleh digunakan untuk menghasilkan tenaga,” katanya.
Premier Sarawak turut optimis bahawa kerjasama antara Sarawak dan Itali menerusi projek ini mampu mencetuskan inovasi baharu dalam teknologi hijau.
“Sarawak mungkin kecil, tetapi dengan gabungan pengalaman kedua-dua pihak, kita mampu menghadapi cabaran perubahan iklim global,” katanya.
Beliau berharap kerjasama ini akan menjadi permulaan kepada projek-projek baharu dalam usaha memastikan kelestarian alam sekitar serta memperkukuhkan ekonomi negeri.
Oleh SHAHRUL QAIZAT